Bukan tidak takut. Cuma usaha tidak berkadar dengan ketakutan. Ibarat orang yang bilang takut pada Tsunami, tapi bila Tsunami datang dia cuma berlenggang lari dari air.
Tidak seriuskah? Atau sepertinya sudah give-up?
Tiba-tiba teringat kata-kata itu:
"Tapi kak, itu mimpi"
Itu mimpi, katanya. Satu malam di Maninjau, seorang gadis menceritakan keinginannya untuk melanjutkan pelajaran. Gadis itu, dengan mata berkilau dan wajah tersenyum penuh harapan, satu persatu menceritakan rancangannya. Mahu sambung di bidang perniagaan. Impiannya mahu memiliki perniagaan sendiri. Kemudian mahu merantau menambah ilmu lagi, mahu sambung S2 dan belajar lebih tinggi lagi. Mahu bantu keluarga di Maninjau dengan ilmu dan kejayaannya. Gadis itu, hasratnya, betapa dia mahu terbang tinggi!
Tapi cerita indah masa depannya diakhiri dengan:
"Tapi kak, itu mimpi. Orang tua saya takkan mampu sekolahkan saya setinggi itu. Itu hanya mimpi"
Saat itu aku terdiam, tersentak dengan kenyataan.
Dan hari ini sekali lagi aku tersentak dengan kenyataan.
Aku di sini bukan mimpi. Belajar di universiti terkemuka ini bukan mimpi. Menjadi pelajar perubatan tahun akhir ini bukan mimpi. Hampir menggapai cita-cita ini bukan mimpi. Menghadapi peperiksaan minggu depan bukan mimpi!
Allah. Bagaimana sanggup aku mensia-siakan kesempatan belajar ini, sedangkan di sana ada gadis yang hanya mampu bermimpi untuk belajar lebih tinggi. Bagaimana tega aku berputus asa, sedangkan di sana gadis itu tak pernah henti semangatnya walaupun cuma bermimpi..
____________________________________________________
Adik-adik,
Semangat kalian jadi pemangkin kakak di sini. Cita-cita tinggi kalian jadi pembakar usaha kami. Mimpi-mimpi indah kalian, ah, kami akan terus merealisasikan mimpi!
Adik-adik, terima kasih kerana bermimpi..