Friday, December 31, 2010

Tak Cukupkah Semua - Opick




Berapa banyak lagi airmata
Berapa banyak lagi luka-luka
Yang bisa membuka setiap mata
Bahwa tangan kita telah membuatnya

Berapa banyak lagi pohon tumbang
Berapa banyak derita menyapamu
Berapa banyak lagi bencana dan kita menjadi saksi semua

Tak cukupkah semua apa yang terjadi
Membuka sang mata
Membuka sang hati
Dan lihatlah semua apa yang terjadi
Semua tutup mata
Semua tutup hati

Berapa lama lagi untuk hati
Bersimpuh dan kembali pada Illahi
Berapa lama lagi untuk jiwa
Disana untuk kembali padaNya

Tak cukupkah semua apa yang terjadi
Membuka sang mata
Membuka sang hati
Dan lihatlah semua apa yang terjadi
Semua tutup mata
Semua tutup hati
Tak bisa sembunyi dan tutup mata hati

Saturday, December 25, 2010

Untuk kamu di sana




walaupun video ni senget dan gelap, setiap kali tengok mesti tersenyum sendiri, nak mengangis pun ada..



"nanti ummi lihat ummi jadi nangis, haybah jadi nangis, kakak jadi nangis, abi jadi nangis.."
"kok kenapa sampai abi jadi nangis?"
"semua jadi nangis lihat foto kakak, jadi ingat pada kakak.."

Haybah yang comel dan solehah, kakak rindu kamu, kakak juga bisa jadi nangis lihat video kamu :( sampaikan salam pada ummi dan kakak wafa' ya, doakan kami yang sedang berjuang untuk peperiksaan..

Wednesday, December 15, 2010

TRAVELOG: Hari ke-14

Hari ke- 14

Hari ini semua bangun pagi dengan semangat berbeza. Sarapan pagi kami telah disediakan oleh pihak Lovely Villa. Kami dilayan seperti anak Dato'. Kemudian kami memulakan hari kami dengan berbelanja di kedai kain batik. Setiap seorang membeli kain pelekat untuk dihadiahkan kepada ayah, abang, adik dan datuk di tanah air.

Kemudian kami melawat Istana Maimun. Beberapa bahagian di dalam istana ini masih lagi digunakan oleh kaum kerabat di raja, menjadi tempat tinggal dan menjalankan sesetengah upacara. Seperti biasa, tiada yang gratis di bumi Indonesia ini. Kami membayar 30 000 Rupiah seorang untuk tiket masuk. Mengikut sejarah yang diterangkan, kerabat Diraja Medan ini mempunyai kaitan persaudaraan dengan Malaysia iaitu kerabat Diraja Perak. Ini bermakna kita sebenarnya bersaudara dengan mereka dan seharusnya persengketaan tidak patut berlaku antara kita.


Selepas itu, kami meneruskan hari kami dengan menuju ke pusat membeli-belah Matahari. Bersebelahan dengan Matahari ialah pasar ikan Medan yang terkenal dengan kesibukannya. Kebanyakan penjual di pasar ikan adalah kaum Batak. Terdapat dua pasar ikan Medan; pasar ikan yang menjual ikan dan pasar ikan yang menjual pakaian. Pasar ikan yang bersebelahan Matahari mall ialah pasar ikan yang menjual barangan basah.

Apa yang dapat kami perhatikan semasa ‘window shopping’ di mall ialah perbezaan adab dan tingkah laku orang Medan dan Malaysia. Seperti sudah tiada langsung perasaan segan dalam diri, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang kencing di tepi jalan tanpa rasa bersalah. Yang menyedihkan, selepas itu ibunya memberinya makanan tanpa tangan kanak-kanak itu dibasuh terlebih dahulu. Kelihatan juga wanita yang tanpa segan silu meludah di merata-rata. Mungkin kerana faktor agama di mana penganut Kristian antara yang ramai di Medan selepas agama Islam.

Ketika kami berbelanja, penjual-penjual meneka kami berasal dari Aceh. Mungkin kerana kami semua bertudung dan kelihatan sopan, tidak seperti sesetengah golongan remaja Medan yang lain; berbaju dan berseluar ketat dan jarang sekali terjumpa anak gadis yang bertudung seperti di Aceh. Kami semua sudah mulai rindukan Aceh...

TRAVELOG: Hari ke-13

Hari ke- 13

Hari ini adalah hari terakhir kami di Aceh. Semua ahli rumah kami bangun pagi awal berbanding hari-hari biasa. Pukul 615 pagi semua sudah selesai mandi dan mengadap beg bagasi masing-masing untuk final touch up. Kami memilih untuk bersarapan roti dan air mineral untuk meminimumkan penggunaaan barangan dapur. Ali kelewatan lagi kerana sepertinya jalan macet.

Kira-kira pukul 7 pagi, mobil kami sampai. Memandangkan kami mempunyai bagasi yang besar, ternyata mobil GPM tidak mampu untuk menampung bagasi kami yang besar dan penumpangnya sekali gus. Justeru itu, kami memilih untuk membahagikan kami semua kepada 2 trip. Trip pertama menghantar beg besar kami dan 4 orang wakil untuk menjaga beg di terminal nanti; Najwa, Iman, Ila dan Kak Ashiah.

Sementara menunggu trip seterusnya, Tia sahabat baik kami di Aceh tiba di rumah kami. Tia meluahkan perasaannya dan kami semua sedaya upaya untuk mententeramkan Tia.
Hati menjadi sayu di sepanjang perjalanan dari rumah ke terminal.Terasa ingin menitiskan air mata apabila memandang ke arah pemandangan yang cantik dan pasti kami tidak akan lupa layanan baik yang kami terima daripada penduduk Aceh walau di mana kami pergi.

Terharu hati kami pagi ini kerana ramai yang menghantar kami di terminal. Ummi mewakilkan 2 orang daripada warga PKPU untuk menyampaikan cenderamata kepada kami. Tiba-tiba terdetik rasa rindu kami kepada ummi dan warga Rumah Anak-Anak Yatim PKPU. Maaf ya ummi kerana tidak dapat memenuhi undangan ummi semalam. Insya Allah kita dapat bertemu lagi, jika tidak di dunia mungkin di syurga. Amin. Selain itu, kak Nila dan Fateh pun turut ke terminal untuk menghantar kami.

Bas kami bertolak setengah jam awal dari waktu yang ditetapkan, mujurlah kami sampai awal di terminal. Namun, bas ini berhenti di gerai makan setelah hanya 10 minit bergerak. Rupa-rupanya pemandu dan konduktor basnya mahu bersarapan. Patut la bertolak awal.

Perjalanan kami dari Aceh ke Medan dijangkakan mengambil masa 15 jam. Perjalanan yang begitu lama dan mencabar benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal kami. Kami melalui jalan yang berbukit-bukau, kawasan sawah padi, kelapa sawit, perkampungan dan hutan belantara. ‘Vestibular system’ kami benar-benar teruji. Masing-masing telah bersedia dengan anti-emetic, minyak-minyak angin sebagai persediaan ‘motion sickness’. Dari Aceh utara ke Aceh Timur kemudian Aceh Temiang, banyak sekali masjid yang kami lihat di sepanjang perjalanan. Berbanding di Malaysia, masjid-masjid di sini banyak yang berkonsep terbuka tanpa dinding, kipas dan penghawa dingin. Yang ada hanya udara segar dari luar.

Apa yang berbeza dari Malaysia, ada segelintir penumpang Indonesia yang kurang menghormati penumpang lain dengan merokok di dalam bas yang berhawa dingin. Kami hampir kelemasan setiap kali asap rokok dilepaskan. Selain itu, walaupun kami menaiki bas ekspres namun mereka mengambil penumpang berlebihan dari bilangan tempat duduk yang tersedia. Ada penumpang yang terpaksa berdiri di tengah laluan sementara menunggu penumpang yang lain turun. Setiap kali bas berhenti, pasti ada penjual dan peminta sedekah naik ke dalam bas. Ada yang buta dipimpin oleh saudaranya sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, ada yang menjual makanan, dan tidak lupa anak-anak kecil yang meminta sedekah. Kadang-kadang terdetik rasa kasihan kepada mereka kerana tidaklah mudah bagi mereka untuk mendapatkan wang untuk sesuap nasi. Tidak seperti di Malaysia yang rata-rata berkedudukan sederhana.

Untuk makan tengah hari, kami mengalas perut dengan biskut Astana dan kerepek pisang. Sementara untuk makan malam, kami semua membeli murtabak Indonesia berharga 6 000 Rupiah semasa bas berhenti untuk rehat. Sudah tidak terkira berapa kali kami telah tidur di sepanjang perjalanan. Kaki sudah menjadi kejang, belakang menjadi sakit kerana terlalu lama duduk di atas bas.

Akhirnya, kira-kira jam 10 malam kami tiba di Sundal station. Lucky tourist guide kami telah menunggu kami bersama Lovely holiday bas. Setibanya di tempat penginapan, kami semua kaget dengan keadaan rumah yang disediakan. Rumah dua tingkat dengan 4 buah bilik lengkap dengan dapur. Kami rasakan ini terlalu mewah untuk harga yang kami peruntukkan. Kata kak asiah, “ dari kehidupan yang serba sederhana di Aceh, penuh kesyukuran bertukar ke kehidupan yang mewah di Medan”. Allah maha berkuasa, perancangan Allah adalah perancangan yang terbaik.

TRAVELOG: Hari ke-12

Hari ke-12

Hari ini kami memilih untuk bergotong-royong mengemas rumah dan memasak. Matlamat yang perlu dicapai adalah untuk membersihkan rumah seperti sebelum kami menggunakannya dan juga memasak dan menghabiskan semua bahan masakan yang ada.

Iman dan Kak Asiah telah ditugaskan untuk keluar ke pekan membeli tiket ke Medan di terminal dan membeli barangan masak menu nasi lemak kami. Mengikut perancangan, kami mahu bersama-sama membersihkan mobil tapi setelah dipertimbangkan peralatan yang terhad kami mengambil keputusan untuk menghantarnya ke car wash sahaja.

Solehah, Najwa dan Nabilah ditugaskan untuk membasuh cadar dan sarung bantal. Namun disebabkan ketiadaan bekalan air dari semalam, kami terpaksa menangguhkan aktiviti mencuci. Jadi, semua yang tinggal di rumah, bergotong-royong menyapu dan mengemas ruang tamu yang juga menjadi ruang tidur kami dan bilik.


Kami meneruskan aktiviti dengan memasak nasi lemak berlaukan ikan bilis, ikan tongkol dan telur masin. Baru mula memasak, tiba-tiba elektrik terputus. Macam mana mahu masak nasi. Akhirnya, terpaksa menggunakan dapur gas untuk menanak nasi. Alhamdulillah, nasi kami tidak hangit ataupun mentah.

Sedang memasak, bekalan air kembali ada. Sesudah makan, kami pun mencuci cadar dan sarung bantal seperti yang dijadualkan. Setelah hampir selesai mencuci, kedengaran enjin kereta yang amat dikenali, “Ali udah sampai”. Kami bergegas untuk bersiap dan keluar untuk berbelanja. Kami memilih untuk berbelanja di kedai busana muslimah di mana pilihannya lebih memenuhi citarasa kami.

Malam ini kami menerima dua undangan makan malam iaitu bersama Global Peace Malaysia Aceh dan warga Rumah Anak-Anak Yatim PKPU. Hati kami berbelah bahagi untuk memilih yang mana memandangkan kedua-duanya sangat berharap kami dapat memenuhi undangan mereka. Setelah berbincang, memandangkan waktu malam yang singkat, kami terpaksa mengorbankan undangan PKPU dengan berat hati. Sejuta kemaafan dan ucapan selamat tinggal telah kami rakamkan kepada wakil PKPU. Sesudah makan malam bersama Kak Nila, wakil GPM Aceh di Warung Mee Ayah, kami pulang ke rumah untuk berehat.


TRAVELOG: Hari ke-11

Hari ke-11

Hari ini adalah hari terakhir kami ke BSMI. Kami mengadakan perjumpaan terakhir dengan Dr Supri dan staf-staf BSMI. Sedikit sumbangan dari Malaysia telah kami berikan kepada wakil BSMI untuk digunakan dalam Bakti Sosial (BAKSOS) BSMI bersama masyarakat Aceh. Pihak BSMI menyampaikan salam buat warga Malaysia dan mereka benar-benar berharap agar hubungan baik ini dapat diteruskan dan kunjungan dari Malaysia di masa akan datang amat dialu-alukan.


Kemudian, kami terus bertolak ke Kampung Samahani untuk acara mikrokredit GPM diiringi oleh sahabat kami dari Aceh, Tia iaitu wakil GPM Aceh. Mengikut penerangan Tia, mikrokredit ini sebenarnya adalah bantuan yang diberikan oleh Global Peace Malaysia-Aceh kepada masyarakat kampung dalam bentuk wang sebagai modal untuk memulakan perusahaan kecil. Program ini masih dalam percubaan dan hanya 10 keluarga sahaja yang terpilih. Sewaktu kami datang ke sana, ini adalah modal 1 juta rupiah yang pertama diberikan kepada setiap keluarga. Penduduk kampung ini terdiri daripada petani dan mereka yang menerima bantuan ini adalah terdiri daripada golongan ibu-ibu yang mengusahakan perusahaan sulaman tas tangan. Sesi pertemuan kami bersama ibu-ibu di sana dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh wakil kami, Nabilah, seterusnya, sedikit taklimat kesihatan.



Acara diteruskan dengan pembacaan ikrar oleh semua penerima bantuan mikrokredit. Setiap daripada kami berpeluang untuk menyampaikan pinjaman kewangan dengan melakukan acara akad pinjaman dengan penerima. Selepas itu, kami melawat tempat aktiviti jahitan sulaman dijalankan. Kami sangat kagum dengan mereka kerana sulaman yang dihasilkan sungguh cantik dan teliti. Hasil sulaman mereka akan dihantar ke pekan untuk dihasilkan tas tangan. Kami pulang dengan satu perasaan terharu kerana pada kami, bantuan yang diberikan oleh GPM Aceh ini benar-benar memberikan sinar buat mereka dan peluang untuk mereka menaikkan taraf hidup keluarga masing-masing.





Makan malam hari ini adalah makan malam yang kami tidak akan lupakan. Pada awalnya, kami begitu cerewet untuk memilih tempat makan yang sesuai. Ada yang enggan untuk makan di warung tepi jalan, ada yang mahu tempat makan yang bersih dan murah, dan macam-macam lagi. Pemandu kami, Ali melayan kerenah kami dengan sabarnya. Mungkin dia faham akan sikap kami yang sangat mementingkan pengambilan makanan yang sihat dan bersih bagi mengelakkan keracunan makanan. Akhirnya, Ali membiarkan kami membuat keputusan. Tiba-tiba seorang daripada kami memberikan cadangan yang bernas dan memberikan harapan yang indah buat perut kami yang lapar ini. “Kita cuba kedai makan itu; Masam Keu-Eung”. Apabila kami semua sudah memilih meja makan, pelayan-pelayan kedai itu menghidangkan begitu banyak lauk-pauk. Kami semua terkejut dan terlopong. Menurut Ali, ini adalah masakan orang Aceh. Kami pun makan lauk yang terhidang dengan banyaknya sambil memasang niat, kalau boleh kami nak merasa semua masakan Aceh. Akibatnya, kami terpaksa membayar lebih 100 000 Rupiah untuk semua juadah yang kami makan pada malam itu. ‘Kenapa mahal sangat?’ Kami semua terkesima dan kami sangka kami ditipu. Rupa-rupanya apabila kami bertanya kepada Ali tentang harga makanan yang mahal itu, jawapannya mudah sahaja. Kebiasaannya, semua menu yang ada akan dihidangkan dan pelanggan hanya perlu menyentuh makanan yang mereka mahu sahaja, kemudian harga akan dihitung berdasarkan berapa jenis makanan yang disentuh. Kami membuat konklusi inilah akibatnya kalau malu bertanya pada awalnya. Namun, Alhamdulillah akhirnya kami dapat merasa masakan Aceh setelah satu minggu lebih memilih Indo mee untuk berjimat.

TRAVELOG: Hari ke-10

Hari ini kami bangkit dari tidur dengan seribu pertanyaan kerana segala program yang dirancangkan untuk kami masih belum ada kepastiannya. Pagi ini, jam 8, kami dapat panggilan daripada wakil global peace Malaysia Aceh. Kami diundang untuk menghadiri workshop Pemikiran Islam: Bahaya Ghazwul Fikri dan SIPILIS (Sekularisme, Pleuralisme, Liberalisme). Tanpa berfikir panjang, kami bersiap untuk memenuhi undangan majlis ilmu tersebut.

Taklimat telah disampaikan oleh dua orang penceramah terkenal, Dr Adian Husaini dan Dr Adnin Armas. Secara jujurnya bagi kami, tajuk yang diperkenalkan kepada kami ini agak berat, lebih-lebih lagi bahasa dan huraian yang diberikan begitu teliti dan mendalam sehingga tidak tercapai dek akal kami yang masih pelajar, berbanding dengan peserta workshop lain yang terdiri daripada ilmuan agama yang mewakili provinsi masing-masing. Terasa kerdil diri kami, namun, demi sesuap ilmu, kami memberanikan diri untuk turut serta menimba ilmu bersama-sama mereka.

Dalam ceramah Ustaz Adian, beliau ada mengatakan bahawa Orang Barat telah menanamkan idealisme barat yang penuh dengan kerosakan dalam pemikiran umat Islam melalui pengaruh media. Tanpa kita sedari, fikiran kita sebenarnya telah dijajah dan diserang oleh mereka. Mereka memecah belahkan umat Islam dengan meniupkan fitnah dan berita palsu antara Muslim. Padahal, yang menyatukan kita serumpun sebagai rakyat Malaysia dan Indonesia sebenarnya adalah kehadiran Islam. Perjuangan kemerdekaan di nusantara juga banyak yang dipelopori oleh pejuang Islam, atas dasar menolak penjajahan yang memansuhkan syariat Islam. Aceh, yang dikenali dengan serambi Mekah merupakan satu contoh.

Antara faktor kekalahan umat Islam kepada orang Barat ialah seorang muslim sibuk dengan diri sendiri tanpa memikirkan masalah umat dan umat Islam saling mencaci. Sikap-sikap negatif seperti inilah yang membuatkan mereka tertawakan kita. Sekiranya kita berpegang pada ajaran Islam dan sedar akan serangan Barat terhadap pemikiran kita, pastinya Islam tidak akan kalah. Tidak akan terjadi masalah keruntuhan akhlak, hiburan yang berlebihan, anak-anak menjadikan artis sebagai idola dan sebagainya.

Sesi petang diteruskan dengan slot Dr Adnin. Beliau membawakan contoh-contoh tulisan para ‘agamawan’ yang menolak mukjizat al-Quran, kononnya al-Quran hanyalah karangan Rasulullah, bukannya wahyu dari Allah. Kami terkejut. Yang diceritakan itu bukan calang-calang orang, punya pendidikan agama hingga ke peringkat tinggi. Malang sekali mereka boleh terpengaruh dengan dakyah barat dan menconteng kesucian agama mereka sendiri. Semoga Allah memberikan mereka dan kami semua hidayah dan peliharaanNya. Sesi tersebut juga dihangatkan dengan soalan-soalan berapi dari para peserta berkenaan ideologi SIPILIS, yang dalam diam telah menjajah pemikiran umat Islam. Ternyata, ghazwul fikr merupakan cara yang sangat halus tapi sangat membinasakan!

Selepas waktu sore kira-kira jam 5petang,kami pun menuju ke masjid Polda sementara menunggu waktu maghrib. Sesudah makan malam di salah satu gerai di tepi jalan dengan menu biasa IndoMee goreng, kami pun pulang ke rumah.

Smong dumek-dumek mo


“Engel mon sao surito. Inang maso semon manoknop sao fano. Unen ne alek linon, fesang bakat ne mali. Manoknop sao hampung tibo-tibo maawi. Ede smong kahane, turiang da nenekta. Miredem teher ere fesan nafi-nafi da:
Smong dumek-dumek mo.
Linon uwak-uwakmo.
Elaik keudang-keudang mo.
Kilek suluh-suluhmu.
Angalinon ne mali olek suruk sauli. Maheya mihawali fano me tenggi…”

Terjemahan:
“Dengarlah suatu kisah. Pada zaman dahulu kala tenggelam suatu desa. Ada gempa yang mengawali, disusul air yang surut. Tenggelamlah seluruh kampung secara tiba-tiba. Itulah smong namanya, kata nenek moyang kita. Ingatlah pesan dan nasihatnya ini:
Smong (tsunami) air mandimu.
Gempa ayunanmu.
Petir gendang-gendangmu.
Halilintar lampumu.
Jika datang gempa kuat disusul air yang surut, segeralah cari tempat dataran tinggi agar selamat…”

Para orang tua di pulau itu tak bosan-bosan melantunkan nafi-nafi (cerita lisan) tentang smong (tsunami) ketika mereka hendak menidurkan anaknya, makan, atau tengah berkumpul bersama keluarga maupun tetangga. Lirik yang berisikan nasihat mengalir begitu saja. Tidak ada ketentuan atau panduan dalam keseragaman menuturkan kata per katanya. Hingga kini, kisah smong masih mencengkeram kuat benak anak-anak Pulau Simeulue, salah satu kabupaten termuda di Aceh. (sumber: http://www.lenteratimur.com/)

Pada tsunami 2004, jumlah yang terkorban sangat sedikit, iaitu 6 (atau 7) orang, kebanyakannya orang tua yang tak mampu lari, sedangkan ia berada di ‘epicenter’ tsunami. Penduduk Pulau Simeulue mempunyai ‘Early Warning System’nya sendiri, berdasarkan pengalaman orang tua yang diturunkan melalui cerita dan pantun. Dikatakan Tsunami pertama kali melanda Simeulue pada 1833, dan kemudian datang lagi pada 1907. Lalu orang-orang tua mulai menceritakan kisah tersebut turun-temurun, supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil.

TRAVELOG: Hari ke-9

Hari ke-9

Subuh hari ini agak kelewatan, kami tersedar kira-kira jam 610 pagi, ini pasti gara-gara kepenatan yang teramat sangat semalam. Seperti biasa, kami solat berjemaah and membaca mathurat selepas itu. Perut kami semua kelaparan. Menu sarapan pagi kami hari ini ialah nasi bubur, telur dan ikan bilis Alhamdulillah, kenyangnya..

Kami ke Klinik al-Wafa’ untuk mengambil Dr Rosa. Dr Rosa kelihatan unik dengan t-shirt labuh dan kain labuh yang menutupi seluar treknya di dalam. Kain itu sebenarnya terbelah di sisi. Mungkin ini juga adalah salah satu cara orang-orang Aceh mengenali kami, kami memakai seluar and baju labuh. Di sini anak-anak gadis rata-rata memakai skirt dan baju singkat paras punggung. Kami berasa sangat terharu kerana Dr juga telah membawa 2 gulung tikar. Yeah, picnic!!!

Water theme park adalah destinasi kami yang pertama. Kami masuk dengan tiket berharga 30 ribu rupiah seorang. Sementara menunggu kawan-kawan bersiap di bilik persalinan, Dr Rosa bercerita tentang sistem di sekolah anaknya, Haybah yang berumur 5 tahun. Gurunya akan memberikan anugerah –anugerah akhlak yang baik kepada anak-anak pada setiap minggu dan mereka diberikan sijil. Contohnya seperti penyayang, penyabar, pemaaf dan lain-lain. Sekiranya Haybah marah kerana sesuatu perkara ibunya akan berkata, “Haybah kan seorang yang penyabar, mana boleh marah”. Alangkah bagusnya kalau sistem ini juga diwujudkan di Malaysia. Pasti anak-anak kecil akan berlumba-lumba untuk menanamkan akhlak yang baik dalam diri mereka. Tidak salah juga jika sekali sekala ibu bapa memberikan anugerah kepada anak-anak apabila melakukan kebaikan.

Kami keluar dari bilik persalinan dengan wajah yang ceria dan tidak sabar untuk bermain air. Tapi ada kalanya takut bila melihat air. Masing-masing terfikir dalam tak airnya, boleh lemas ke tidak. Kami memilih untuk berendam di kolam yang berkedalaman 80cm sahaja. Dapat tak sesiapa meneka siapa orang pertama yang memasuki kolam air, jawapannya Dr Rosa. Dr Rosa memang seorang yang sangat sporting dan perenang yang hebat. Kami yang tidak pandai berenang , Nabilah, Naz dan Najwa belajar terapung. Solehah dan Iman mengajar dan membantu kami terapung. Huu.. takutnya rasa seperti tidak dapat mempercayai air untuk membiarkan diri terapung di atas air.

Seterusnya, kami semua untuk mencuba aktiviti yang lebih mencabar. Gelongsor yang berketinggian seperti bangunan 4 tingkat. Berdegup jantung melihat ke bawah dari atas. Cabaran ini dimulakan oleh Dr Rosa dengan jayanya. Kami yang berdarah muda ini rasa tercabar. Malaysia Boleh!! Alhamdulillah dengan mata tertutup kami semua berjaya. Seorang daripada kami menjadi pucat lesi mukanya selepas berjaya menuruni gelongsor. Kami sempat belajar berenang dengan Dr Rosa. Dr sangat sabar mengajar kami. Katanya, Rasulullah menuntut kita untuk mengajar anak-anak berenang. Kami pun bersemangat setelah mendapat inspirasi daripada kata-kata Dr Rosa tadi sehinggakan kami digelar mangsa tsunami Malaysia yang hanyut ke Aceh.


Sewaktu kami bersantai di dalam air, Dr menceritakan kisah yang memilukan selepas tsunami, perkara yang kami tidak pernah bayangkan. Mayat-mayat yang memakai gelang, cincin dan rantai emas ditemui saudara mereka tanpa barang-barang kemas walaupun hanya dibiarkan selama 2 jam. Malah ada sesetengah mayat yang dipotong jari semata-mata untuk mengambil cincin. Sedih bila memikirkan situasi tersebut. Masih ada manusia yang tidak insaf walaupun bencana melanda depan mata dan meragut nyawa saudara seIslam sendiri. Ya Allah berikanlah petunjuk kepada mereka...

Kami ke Pantai Cemara dengan pakaian yang masih basah dengan niat untuk tidak mandi air laut. Setibanya di pantai, Dr Rosa mengajak kami mandi laut. Ketika berendam di dalam air laut, Dr Rosa berkongsi cerita tentang kisah hidupnya. Pernikahan itu harus dibina atas dasar kefahaman yang sama. Seorang suami susah untuk mengubah isteri, begitu juga sebaliknya. Apa yang perlu dirancang oleh pasangan suami isteri adalah misi dan visi sebuah keluarga bukannya perancangan fizikal semata-mata seperti mahu anak berapa, mahu rumah apa.
Selepas azan Zohor berkumandang, kami menunaikan solat zohor berjemaah di pantai. Berlantaikan tikar berbumbungkan langit dengan pakaian yang masih basah, kami menunaikan kewajipan kepada Yang Esa. Selesai solat, kami terus pulang ke klinik al-Wafa untuk menyiapkan diri dan makan tengahari bersama-sama. Wajah kami penuh dengan kepuasan dan keceriaan jelas terpancar. Alhamdulillah, kami masih diberikan masa untuk bersantai bersama-sama sambil melihat kebesaran Allah di pantai yang indah.

Tengahari ini, kami dihidangkan dengan masakan Aceh. Masakannya tidak banyak beza dengan masakan melayu di Malaysia, membuatkan kami berselera menikmati hidangan yang disediakan. Dr juga menyediakan bihun goreng kerana beliau tahu Nad on diet. Betapa prihatinnya Dr Rosa terhadap kami. Alhamullillah, sungguh enak sekali dan kami semua kekenyangan. Sementara menunggu jam 3 petang, Dr menunjukkan kami cara berbekam. Beliau menyediakan perkhidmatan berbekam di klinik beliau di samping merawat pesakit dengan perubatan moden. Menurutnya, berbekam adalah warisan perubatan Islam sejak zaman Rasulullah yang perlu dipelajari oleh doktor muslim.

Tepat pukul 3 petang, kami ke Tsunami and Disaster Mitigation Research Center (TDMRC). Kami disambut dengan layanan yang begitu baik sekali. Di sini, kami diberikan taklimat tentang TDMRC dan bencana alam terutamanya Tsunami yang melanda Bumi Aceh pada tahun 2004. Tujuan utama penubuhan TDMRC adalah untuk mengkaji tentang persediaan dan kesan bencana alam dari pelbagai aspek (multidisciplinary). Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti tsunami drill di kampung, program pendidikan tentang bencana di sekolah, dan sebagainya. Menurut En. Dirhamsyah, pengetahuan tentang bencana alam dan cara menghadapinya adalah perkara yang penting dan harus diketahui oleh semua. Menurutnya, suku kaum Simeulu yang tinggal di Pulau Simeulu berjaya menyelamatkan diri selepas gempa yang pertama dan air laut menjadi surut kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang tsunami yang diperturunkan dari nenek moyang mereka. Hanya 7 orang dari suku kaum mereka yang terkorban semasa bencana tsunami 2004. Sebenarnya, tsunami bukanlah sesautu yang baru berlaku di kawasan aceh. Bahkan dalam kamus bahasa Aceh sudah ada perkataan tsunami iaitu Ie Beuna sejak sekian lama. Namun kerana kelalaian mereka dan sikap tidak ambil kisah untuk mempelajari tentang tsunami dari nenek moyang mereka, banyak penduduk Aceh yang terkorban ketika Tsunami pada tahun 2004. Sememangnya, bencana alam berlaku di luar kuasa kita. Namun, sebab utama yang meragut nyawa adalah ketidaksediaan. Sebagai manusia kita tidak dapat menghalang bencana alam, justeru itu, kita harus belajar cara yang betul untuk menghadapi bencana alam.

Sebelum berangkat pulang, kami sempat merakamkan gambar kenangan bersama Pengarah dan Timbalan Pengarah TDMRC di bumbung bangunan yang dibina khas sebagai tempat menyelamatkan diri sekiranya berlakunya tsunami.

Pada waktu malamnya kami makan ikan bakar di kedai Awak Away. Ikannya sangat segar dan teksturnya sangat halus. Ahamdulillah, enak bangat...
Sebenarnya, cadangan makan ikan bakar diberikan oleh adik ipar Kak Ashiah yang belajar di IAIN Ar-Raniry. Tapi beliau tidak mencadangkan mana-mana kedai, dan meminta kami memilihnya. Kami, sudah pastilah, kebuntuan, lalu meminta pandangan Ali. Beliau mencadangkan kedai Awak Away. Ketua kami yang begitu teruja mahu makan ikan bakar yang sangat sedap bersungguh-sungguh mahu memastikan agar kami tidak tersalah pilih, lalu bertanyalah beliau kepada Ali berulang-kali: 'Ini memang yang paling sedap? Betul-betul sedap? Betul-betul paling sedap sekali?" Maka berkatalah Ali: "Betul, memang sedap sekali saja. yang sedap berkali-kali hanya di syurga". Terkedu!


Sebelum tidur, kami sempat bermuhasabah. Walaupun hari ini kami sempat bersantai sambil mengeratkan lagi hubungan antara kami, Alhamdulillah, masih ada ilmu baru yang kami peroleh hasil perkongsian ilmu daripada TDMRC dan Dr Rosa. Sebenarnya, Tsunami yang melanda Aceh Darussalam pada tahun 2004 itu punya hikmah yang tersendiri. Setelah Tsunami, masyarakat Aceh lebih dekat dengan Allah dan mereka lebih bersatu padu untuk memulihkan kembali tanahair mereka. Selain itu, ilmuan-ilmuan dari Aceh yang bekerja di negara lain pula kembali semula ke tanahair untuk membangunkan bumi Aceh. Salah satu bukti bersatunya ilmuan-ilmuan ini ialah tertubuhnya TDMRC.

TRAVELOG: Hari ke-8

Di saat orang lain bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga di hujung minggu, kami memilih untuk mengisi masa kami dengan majlis ilmu. Alhamdulillah, kami dibukakan hati untuk menghadiri program ‘sexual education’ yang disampaikan oleh Dr Rosa kepada mahasiswi fakulti ekonomi UNSYIAH. Kami berpeluang menimba ilmu yang begitu berguna buat kami sebagai kaum hawa dan bersilaturrahim bersama siswi-siswi yang hadir.

Ceramah ini telah berjaya disampaikan dengan baik sekali sambil diselangi dengan jenaka yang bersahaja, membuatkan kami tidak kering gusi sepanjang mendengar ceramah tersebut. Penekanan telah diberikan tentang kepentingan menjaga batasan hubungan antara lelaki dan perempuan sebelum memasuki alam perkahwinan. Menurut Dr Rosa, jumlah kelahiran anak luar nikah semakin bertambah di bumi Aceh walaupun bumi Aceh ini melaksanakan Syariat Islam. Perkara ini mengingatkan kami kembali tentang fenomena anak luar nikah di Malaysia yang jauh lebih tinggi kadar kelahirannya di Malaysia. Sebenarnya, masalah ini kini telahpun menjadi masalah dunia kerana ia bukan sahaja melibatkan sebuah atau dua buah negara malahan masalah ini kian meruncing di setiap pelusuk dunia.

Di saat Dr Rosa memaparkan video pengguguran janin, ramai pendengar yang hadir menitiskan air mata, mungkin melahirkan rasa kesal, marah, atau geram dengan tindakan manusia yang tidak punya pedoman ini. Ceramah ini benar-benar memberikan impak positif dan pengajaran kepada semua yang hadir. Ilmu yang diperoleh bukan sahaja disimpan untuk diri sendiri, malahan setiap seorang daripada pendengar yang hadir memegang tanggungjawab untuk menyampaikannya kepada sahabat-sahabat, adik-adik di kampong halaman agar masalah keruntuhan akhlak ini dapat dibendung. Jika masalah ini berterusan, orang Barat pasti tertawakan umat Islam kerana mengikut cara hidup mereka yang penuh dengan kejahilan..Ya Allah, lindungilah kami dan keturunan kami daripada maksiat dan kejahilan..

Selepas mendengar ceramah tersebut, kami berehat sebentar sambil mengisi perut yang lapar sebelum meneruskan aktiviti kami di Rumah Anak-Anak Yatim PKPU seperti yang telah dirancang. Untuk program kali ini, kami semua berdebar untuk melihat reaksi daripada anak-anak di sana terutamanya Zila dan Naz kerana mereka yang bertanggungjawab memastikan acara utama program ini berjalan lancar iaitu Demonstrasi Gempa Bumi. Buat pertama kalinya, dengan berbekalkan bimbingan daripada Dr Rosa, kami yang tidak pernah berhadapan dengan gempa bumi, bertekad untuk mengadakan ‘Program Disaster Preparedness’ kepada anak-anak yatim di PKPU, walaupun mungkin mereka lebih arif untuk berhadapan dengan situasi ini berbanding daripada kami.

Ketibaan kami di sana disambut mesra oleh warga PKPU. Setibanya kami di sana, kami terus menyediakan tempat untuk program kami. Alhamdulillah, persediaan program semua berjalan lancar. Walaupun sebelum ini ada di antara kami yang tiada langsung pengalaman menguruskan sound system, projector, tetapi dalam program ini, kami belajar menguruskan semuanya. Alhamdulillah..mungkin kerana team work kami.

Program ini dimulakan dengan sesi perkenalan, di mana, setiap seorang daripada kami berdiri di hadapan untuk memperkenalkan diri mengikut kreativiti masing-masing. Keceriaan terpancar di wajah anak-anak yatim di sana di kala kami selitkan lawak jenaka dalam sesi tersebut. Seterusnya, program ini diambil alih oleh ketua kami, Najwa ‘Abidah. Beliau memberikan taklimat tentang gempa bumi dan persediaan menghadapi gempa bumi. Walaupun mereka tidak pernah menghadiri taklimat seperti ini, namun, apabila ditanya ‘apakah persediaan menghadapi gempa bumi yang adik-adik tahu?’, banyak jawapan yang tepat kami peroleh. Sebenarnya, pengalaman benar-benar mengajar mereka. Selepas taklimat, program ini dilanjutkan dengan pembahagian kumpulan untuk sesi perkongsian ilmu kesihatan dan bencana bersama kami. Pendedahan diberikan tentang pendidikan seks, kebersihan diri, keracunan makanan dan pertolongan cemas. Anak-anak ini aktif dan tidak segan bertanya membuatkan kami lebih bersemangat untuk berkongsi ilmu.

Di sebelah petangnya pula, kami mulakan program dengan muhasabah diri sambil diiringi alunan zikrullah yang menginsafkan. Tatkala mereka sedang asyik menginsafi diri, kami kejutkan mereka dengan bunyi dentuman yang kuat seakan-akan gempa sedang melanda. Mereka menjerit dan dengan berbekalkan ilmu yang diperoleh sewaktu taklimat, mereka menyelamatkan diri mengikut cara yang betul. Ada yang bersembunyi sambil menundukkan kepala di sisi meja, ada yang berlindung di tepi dinding yang kukuh dan ada yang menarik tangan rakannya untuk sama-sama melindungi kepala dengan papan putih. Pelbagai reaksi yang kami lihat dari raut wajah mereka. Ada yang ketawa, mungkin memikirkan ia cuma latihan, tetapi ada juga yang masih trauma dan menangis. Kami segera menenangkan adik tersebut manakala yang selainnya diarahkan untuk beratur keluar dari bangunan dan berkumpul di tempat yang lapang. Kami berzikir sekali lagi bersama-sama dengan memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan memohon perlindungan daripada-Nya.

Sesi demonstrasi tersebut diakhiri dengan komen yang membina daripada Dr Rosa. Antara pesanan beliau, apa yang penting semasa bencana melanda ialah kita tidak perlu panik. Bak katanya, “Tenang aja.. Kalau sudah sampai masa, di kamar tidur pun kita akan mati, ngak perlu tunggu gempa”. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar sekali. Kami senang sekali dengan sambutan dan kerjasama yang diberikan. Mereka sangat mesra dan pasti kami tidak akan melupakan saat yang bermakna ini buat selama-lamanya. Dengan berat hati, kami tinggalkan adik-adik dengan lagu Salam Perpisahan dan kami sememangnya ingin hadir lagi di perkampungan mereka jika diberikan peluang di masa akan datang. InsyaAllah...



Sebagai penghargaan daripada pihak Rumah Anak-Anak Yatim PKPU, Bro. Mesut, wakil pengasas rumah ini iaitu dari Istanbul menghadiahkan kami sesuatu yang kami rasa begitu bermakna iaitu sebotol kaca yang tertulis ‘Ingredients: %19 air of Istanbul, %81 'salaam' and 'dua' from Turkey's Muslims..’
By: Naz & Nabilah

Tuesday, November 9, 2010

TRAVELOG: Hari ke-6

Hari ke-6: Jumaat / 21 Mei 2010

Pagi ini kami sekali lagi ke RS BSMI. Kami berpeluang bertemu sekali lagi dengan pesakit dari Malaysia yang kami jumpa semalam. Kali ini pertemuan lebih panjang, disertai wawancara tentang penyakitnya. Kami tidak pasti apa diagnosis doktor RS BSMI, tapi berdasarkan sejarah penyakitnya, mungkin beliau mengalami gastroenteritis akut dan kekurangan hidrasi ekoran muntah-muntah dan cirit-birit. Sebahagian kami turut mewawancara seorang lagi pesakit yang mendapat demam denggi berdarah. Kawasan sekitar Banda Aceh ini rupanya endemik denggi.

Jam 10.30 pagi, Tia tiba di RS BSMI untuk menemani perjalanan kami yang mencabar hari itu. Kami buat pertama kalinya menaiki pengangkutan awam! Selama ini Ali tidak menggalakkan kami mengambil pengangkutan awam sendirian kerana bimbangkan keselamatan kami. Lagipun katanya pengangkutan di sini tidak seperti di Malaysia, takut kami kebingungan dan tak sampai ke destinasi. Tapi disebabkan pada hari Jumaat beliau harus ke masjid awal untuk mempersiapkan masjid, dan Tia pun bersedia menemani kami, jadi dapatlah kami merasa naik labi-labi yang selama ini hanya berpapasan di jalanan. Berdebar juga kami, seperti apalah pengangkutan di sini ya..

Tia menahan sebuah labi-labi untuk kami ke kota. Bukan kura-kura ya, labi-labi ialah seperti sebuah van. Penumpang duduk di tempat duduk panjang yang saling berhadapan. Pintunya di belakang, dan tidak ditutup. Terdapat seorang konduktor yang duduk di tempat penumpang. Sebuah labi-labi mampu memuatkan kira-kira 14 – 16 orang penumpang. Tambang ke kota ialah Rp3000 seorang. Sampai di kota, kami harus tukar pengangkutan untuk ke Universiti Syiah Kuala (Unsyiah).

Dari kota kami naik damri, iaitu bas milik pemerintah, ke Darussalam. Tiada label destinasi yang kami jumpa pada damri tersebut, dan konduktornya cuma memanggil penumpang dengan menjerit “Salam, Salam”. Kata Tia, kalau kami sendirian pasti kami tidak jumpa damri ke Darussalam! Tambang damri hanya Rp1000 seorang, murah kerana disubsidi pemerintah. Yang menariknya, konduktornya memakai uniform khas, dan beliau kelihatan sungguh bersemangat memastikan semua penumpang dapat duduk atau berdiri dengan selamat.

Perjalanan dengan damri agak perlahan kerana jalan sesak. Kami penumpang yang terakhir turun, iaitu di destinasi terakhirnya, Unsyiah. Kami berjalan kaki untuk ke Fakultas Kedokteran, dan sempat singgah di sebuah kedai membeli air dan makanan ringan. Maklumlah, tekak sudah kering dan ada perut yang sudah berbunyi. Tia bercerita, selepas Tsunami, jalan yang kami lewati itu jadi tempat pengumpulan mayat-mayat korban.

Sampai di musolla Fakultas Kedokteran, program pengajian pun dimulakan. Kak Ashiah mengambil tempat untuk memperdengarkan hafalannya. Alhamdulillah, lancar sekali hafalan beliau. Namun kami dapat memahami debarannya memperdengarkan keindahan Surah Al-Rahman di hadapan kira-kira 30 orang peserta pengajian. Pengajian diteruskan dengan ceramah Dr Rosa bertajuk Ad-Dawaa’ wa ad-Da’wah (Penyakit dan Da’wah). Dr merupakan penceramah yang versatil. Cara penyampaiannya bersesuaian dengan kumpulan sasaran.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan peranan doktor muslim sebagai penda’wah. Beliau juga meyampaikan resipi gaya hidup sihat mengikut ajaran Islam. Sungguh menarik dan belum pernah kami dengari sebelum ini. Antaranya ialah meninggalkan yang dilarang (haram), kerana yang haram itu terbukti mempunyai banyak mudarat. Contoh terbaik ialah arak. Pemakanan juga selain halal, harus tayyiban. Contohnya garam, ia halal namun jika terlalu banyak tidak tayyib. Olahraga yang tidak boleh ditinggalkan oleh Muslim ialah solat. Solat, selain menuruti perintah Allah, telah dibuktikan oleh sains mempunyai kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan dan mental.

Selesai pengajian dan solat Zuhur-Asar, kami sempat mendapatkan beberapa responden untuk penelitian. Sambil menunggu Ali menjemput, kami dihiburkan oleh Haybah dan Wafa, dua puteri kesayangan Dr Rosa yang bijak dan lucu. Haybah sungguh keletah, mulutnya tidak henti berceloteh. Wafa pula seorang pemerhati, dalam diam dia sudah menghafal nama setiap dari kami.

Allah Maha Menguji. Kami kemudian dikejutkan dengan berita dari Tia. Katanya brek mobil kami blong (rosak), jadi Ali tidak dapat menjemput kami dari Unsyiah. Sempat juga kami panik, kerana jam 3 kami sudah berjanji dengan Kak Ida dari Lampuuk untuk mewawancara orang kampungnya. Mujurlah Tia yang matang itu tetap tenang. Atas cadangan beliau, kami memutuskan untuk naik labi-labi saja ke Lampuuk. Tapi disebabkan kesuntukan masa, makan siang terpaksa dilupakan. Kami makan biskut saja dalam labi-labi buat alas perut. Bunyi kunyahan biskut mengaburi keroncong perut kami dalam kesunyian perjalanan itu..

Kami selamat sampai di Lampuuk walaupun lewat hampir sejam. Kami seharusnya ke pengajian ibu-ibu, namun pengajian sudah selesai, jadi kami ke sebuah meunasah (musolla). Alhamdulillah, dapat juga kami mewawancara ibu-ibu di situ. Selepas itu, kami mengunjungi warung kopi mewawancara golongan bapa dan penghuni beberapa buah rumah.

Kawasan tersebut terletak di tepi pantai. Sewaktu Tsunami, ramai penduduk kampung yang terkorban dan semua rumah di situ hancur. Ada yang masih trauma dengan kejadian tersebut, dan ramai penduduk yang terselamat berpindah keluar. Ketika ditanya mengapa mereka masih tinggal di situ, ramai yang mengatakan, “Kami hendak ke mana lagi, di sinilah tempat kami”. Alhamdulillah, kampung tersebut kini sudah dibangunkan. Terdapat banyak rumah bantuan daripada Turki. Di situ juga terdapat Masjid Baiturrahim, antara masjid yang tidak dirosakkan Tsunami.

Alhamdulillah, sewaktu kami di situ, mobil kami sudah siap dibaiki dan dapatlah kami pulang dengan mobil. Maghrib itu, kami tiba di rumah kelaparan dan keletihan. Mujurlah makan malam itu sudah dibeli. Namun hasrat mahu berehat terpaksa ditangguhkan, kerana masih perlu bersedia untuk penyuluhan kesihatan esok. Apapun, insyaAllah kami akan terus bersemangat!

TRAVELOG: Hari ke-4

Hari ke-4: Rabu / 19 Mei 2010




Kami seharusnya tiba di Klinik Al-Wafa jam 9 pagi. Tapi seperti semalam, jalan raya macet menyebabkan kami terlewat. Hari ini kami akan ke Lampisang, di kabupaten Peukan Bada, sebuah daerah Tsunami. Dr Rosa ikut bersama menaiki mobil kami. Beliau juga membawa anak kelapa sebagai buah tangan untuk ke sana. Agak lucu mengenangkan kami 4 + 1 di ruang tengah mobil, kami berempat ditambah anak kelapa dan daun-daunnya!















Kami ke rumah Kak Manya, kenalan Dr Rosa yang bersama-sama Dr menyelamatkan diri sewaktu Tsunami dulu. Tujuannya ialah untuk mengaturkan penelitian kami di kampung tersebut. Beliau juga menceritakan pengalaman Tsunaminya. Katanya, “Tembok tinggi itu Kak Manya sanggup panjat sambil gendong Wafa (puteri sulung Dr Rosa, ketika itu berumur sekitar 3 tahun) untuk selamatkan nyawa. Kalau sekarang pasti tak bisa lagi.” Beliau juga menunjukkan dinding rumahnya yang bercat kuning. Terdapat bahagian yang kelihatan tak bercat, menandakan kesan air Tsunami yang mengandungi sulfur, sehingga cat tidak boleh lekat.







Sesudah itu, kami ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Lampisang, tempat Dr Rosa pernah berkhidmat. Di sebelahnya terlihat sebuat bangunan yang sudah usang dan rosak, rupa-rupanya itulah bangunan Puskesmas lama yang terkena Tsunami. Bangunan yang baru itu mendapat sumbangan Turki dan Islamic Relief. Puskesmas tersebut mempunyai seorang doktor. Kemudahannya lebih kurang seperti Klinik Kesihatan di Malaysia. Ia juga mempunyai bilik bersalin, unit rawat inap dan unit kesihatan jiwa. Di situ juga Dr Rosa mengaturkan penelitian kami di Lampuuk, lagi daerah Tsunami, melalui seorang perawat yang tinggal di situ.









Selesai mengaturkan penelitian, kami sempat singgah di Rumah Cut Nyak Dien. Beliau ialah seorang mujahidah Aceh yang sangat terkenal dengan semangat juang dan keberanian menentang penjajahan Belanda. Sayangnya, rumah yang kami lawati tersebut bukanlah yang asli, kerana rumah sebenar telah hangus dibakar oleh Belanda, kecuali sebuah telaga. Gambar Cut Nyak Dien yang ada juga merupakan lukisan oleh Belanda dan tidak menepati ciri Cut Nyak Dien yang berjilbab dan menutup aurat.



Sebelum pulang, kami sempat mewawancara penjaga rumah tersebut untuk penelitian kami. Beliau juga mangsa Tsunami, dan mempunyai seorang adik perempuan yang sedang dalam proses melahirkan sewaktu kejadian itu. Sayang sekali, adiknya dan bayi yang sudah keluar kepalanya itu tidak dapat diselamatkan.


Kami kemudiannya ke Pondok Yatim PKPU-IHH di Cot Suruy, kecamatan Blang Bintang. Di pertemuan singkat itu, kami bersilaturrahmi dengan Ummi Nora dan beberapa karyawan lain, dan mengaturkan sesi untuk penelitian kami di situ pada hari yang sama.




Selesai semuanya, perut kami minta diisi. Kami makan siang di restoran cadangan Dr Rosa, Restoran Ayam Lepas. Adakah ayamnya terlepas dan kami perlu tangkap untuk makan? Oh, tentulah itu melampau. Kami tidak tahu apa yang terlepasnya, tapi ia dijamin Dr Rosa sebagai enak dan bersih, pokoknya halalan toyyiban! Rupanya ayam lepas itu pedas. Alternatifnya ialah ayam lemas yang kurang pedas. Lucu menunya, tapi pakej nasi, ulam, ayam dan sambal itu ternyata enak. Ali yang tidak sabar untuk pergi solat meninggalkan ayamnya tidak habis dimakan, maka kami semua meratapi pembaziran ayam yang enak itu.




Dalam perbualan dengan Dr Rosa, beliau ada mencadangkan tempat-tempat yang kami boleh kunjungi. Antaranya ialah Taman Putroe Pahang. Walaupun di Pahang terdapat Kampung Aceh, ini pertama kali kami mendapat tahu tentang hubungan Aceh dengan Pahang. Mengikut sejarah, terdapat seorang Puteri Raja Pahang yang berkahwin dengan Sultan Aceh. Puteri tersebut terkenal dengan kebijaksanaannya dalam aturan negeri, sehingga tercipta kata-kata yang masyhur:



“Adat bak Po Temereuhom,
Hukum bak Syiah Kuala,
Qanun bak Putroe Pahang,
Reusam bak Laksamana”

Kami berpisah dengan Dr Rosa selepas itu. Destinasi seterusnya ialah Museum Aceh. Kami dibawa Ali ke sana, dan rakan kami, Tia, yang datang dengan ‘kereta’nya sudah menunggu. Rupa-rupanya Museum Aceh belum dibuka. Masih terlalu awal jika kami mahu menunggu, lalu perjalanan dilanjutkan ke Kapal Apung.

Kapal tersebut ialah kapal Pembangkit Listrik Tenaga Disel (PLTD) dan sewaktu Tsunami ia berada di pelabuhan Ulheelhee. Gelombang Tsunami yang kencang mengheretnya ke daratan sampai sejauh lebih 4km dari pelabuhan. Ia kini ditinggalkan di tempatnya sebagai tarikan pelancong. Di bawah kapal seberat 2600 ton tersebut terdapat dua buah rumah yang ditindihnya. Kawasan tersebut dahulunya rata dek Tsunami, tapi kawasan sekitar kapal tersebut sudah dibangunkan kembali. Dari atas kapal dapat dilihat betapa jauhnya laut, menggambarkan betapa jauhnya kapal sebesar itu dihanyutkan ombak Tsunami.



Berhampiran kapal tersebut terdapat Galeri Tsunami. Ia memaparkan gambar-gambar sewaktu tsunami yang sungguh menyayat hati. Terdapat juga fakta-fakta dan statistic berkaitan Tsunami sebagai pendidikan kepada pengunjung. Hati kami diranduk kesayuan melihat gambar mayat-mayat bergelimpangan, kawasan perumahan yang rata dan ibu meratapi kematian anaknya. Sungguh, di saat Allah mahukan kehancuran, maka hancurlah sesuatu. Sungguh Allah Maha Berkuasa atas setiap makhluknya. Sungguh, nyawa kami dalam tangan-Nya.




Oh ya, seperti biasa, ke mana-mana kami pergi pasti saja ada yang memanggil, ‘Atuuuk, ooo atuk’ dan ‘Kak Roos, sarapan takde ke?’. Produksi Upin & Ipin pasti tersenyum lebar mengenangkan populariti animasi itu di sini.




Kami kemudiannya ke Museum Tsunami. Museum yang sungguh artistik itu dibina berdasarkan konsep Rumoh Aceh, rumah tradisional masyarakat Aceh yang merupakan rumah panggung. Dengan lantai bawah yang terbuka, bangunan museum tersebut boleh dijadikan ‘escape building’. Simbol gelombang Tsunami dapat dilihat dari atas bangunan. Dekorasi bahagian luar bangunan mengambil inspirasi Tarian saman, iaitu tarian tradisi Aceh, untuk mencerminkan konsep ‘Hablumminannas’.





Di dalamnya terdapat satu cerobong yang kosong dan gelap, sangat gelap. Tiada sumber cahaya melainkan dari puncak cerobong itu. Memandang ke puncak, kalimah Allah terpapar. Sungguh menginsafkan. Ia bagai mengingatkan, ketika kita sudah terputus segalanya, tidak punya apa-apa lagi untuk diharapkan, Allah tetap ada. Itulah yang dirasakan oleh mangsa-mangsa Tsunami yang saat itu merasakan sudah tiada lagi harapan.



Lantai dua museum tersebut ialah kawasan pameran. Terdapat gambar-gambar sebelum, sewaktu dan selepas Tsunami, informasi tentang Aceh, lukisan-lukisan yang berkaitan, dan video Tsunami. Digantung juga bendera negara-negara yang memberikan bantuan kepada Aceh, Malaysia salah-satunya. Kami sempat melihat reaksi Ali, juga merupakan mangsa tsunami, terhadap video yang bagi kami sungguh mengharukan. Ternyata air mukanya begitu bersahaja.


Petang itu kami kembali ke Pondok Yatim PKPU-IHH. Selepas Asar, anak-anak yang terlibat dengan Tsunami dikumpulkan di dewan. Sesi petang itu dikendalikan dengan baik oleh Naz, berbekalkan pengalaman menjadi fasilitator pelajar sekolah selama beberapa tahun. Kami sempat bersilaturrahmi dengan anak-anak yang berumur sekitar 12 ke 17 tahun tersebut. Mereka sungguh mudah mesra, seperti juga anak-anak di Al-Fityan School.



Selepas Maghrib, sesi disambung dengan beberapa lagi anak-anak yang belum pulang pada petangnya. Di sini kami bertemu Brother Mesut dari IHH Turki. Beliau merupakan graduan UIAM juga, lalu panjanglah perbualan kami dengannya. Perbualan dalam Bahasa Inggeris itu berkisarkan keinginannya melihat anak-anak di situ mendapat pendidikan tinggi, yang begitu mahal di Indonesia. Beliau meminta kami me’lobi’ pihak atasan UIAM untuk beberapa anak-anak yang cemerlang, namun kami tidak mampu menjanjikan apa-apa kerana ia di luar bidang kami.


Apapun, kami setuju dengan katanya, iaitu anak-anak di situ memerlukan motivasi. Beliau juga mengatakan yang kedatangan kami sebagai pelajar universiti yang fasih berbahasa Inggeris merupakan motivasi yang besar kepada mereka. Beliau mencadangkan kami datang lagi untuk memberikan pendidikan kesihatan kepada anak-anak di sana. Kami begitu teruja dengan cadangan itu, namun masih perlu disyurakan agar jadual kami tersusun.





Perbualan kami dengan Brother Mesut membuka mata kami. Kecaknaannya terhadap isu-isu semasa dunia, termasuklah keadaan politik Malaysia membuatkan kami kagum. Beliau juga menasihatkan kami menjadi aktivis yang peduli dan memperjuangkan nasib ummat, bukan sekadar menjadi doktor biasa seperti kebanyakan doktor. Subhanallah, banyak sekali nasihat sebegini yang kami terima sepanjang beberapa hari di sini. InsyaAllah, kami memohon bimbingan dan bantuan Allah supaya dipermudahkan dan ditetapkan hati kami, agar kami bisa menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.




Dalam perjalanan pulang malam itu, sempat kami bertanya kepada Ali tentang kunjungan ke Museum Tsunami yang mungkin mengimbau perasaan sedih dan trauma. Katanya tenang dan bersahaja, “Sedih juga, tapi itu kan takdir yang sudah lepas. Lagipun apa perlu takut. Mati itu kan bisa bila-bila masa. Jika tidak kerna konflik (merujuk kepada konflik GAM), mungkin bisa kerna Tsunami. Jika kena tsunami masih belum mati, di tempat tidur juga kan bisa mati. Itu kan sudah ditulis Ilahi, kitalah yang harus mempersiapkan.”




Hari ini ternyata sarat dengan perjalanan, pengajaran, dan peringatan.

TRAVELOG: Hari ke-2

Hari ke-2: Isnin / 17 Mei 2010

Hari ini adalah hari yang panjang. Kami memulakan hari seawal jam 5 pagi dengan solat Subuh berjemaah. Acara di Rumah Sakit BSMI dijadualkan bermula jam 10 pagi. Kesempatan pagi itu digunakan untuk membeli barang makanan di kedai berhampiran. Pekedainya sangat ramah, hampir kesemua barangan yang ada di kedainya mahu dipromosikan pada kami. Antaranya, “Ini ikan kayu, enak kali!”, dan “Ambillah ini asam sunti, guna dalam masakan, enak!”. Namun kami yang tidak pernah mendengar nama ikan kayu mahupun asam sunti hanya membeli barangan yang sudah disenaraikan, kalau kami beli pun belum tentu kami tahu memasaknya!

Supir kami, Cik Ali sampai awal hari itu, kelam kabut kami dibuatnya, namun kami tetap bertolak mengikut jadual, dan tiba di RS BSMI beberapa minit sebelum jam 10. Rumah sakit tersebut terletak di Jalan Lamlagang, Banda Aceh, kira-kira 15 minit perjalanan dengan mobil dari rumah kami. Kami diberitahu, jika ingin menaiki pengangkutan awam, harus naik beca dari rumah ke jalan utama, dan ambil labi-labi sampai ke rumah sakit. RS BSMI merupakan rumah sakit swasta milik Bulan Sabit Merah Indonesia cabang Aceh. Selama ini kami melihat gambarnya di laman web BSMI dan Facebook sahaja, tapi hari ini ia di depan mata kami.

Kami disambut oleh Nadya, seorang bidan yang baru berumur 20 tahun. Namun kematangannya membuatkan kami seakan tidak percaya dengan umurnya. Kami langsung diberi taklimat awal oleh Dr Suprinardi dan Encik Razi. Selain diterangkan tentang kegiatan rumah sakit, kami juga membincangkan tentang mini-research kami. Satu kerisauan mendatangi kami apabila diberitahu bahawa RS BSMI tidak mempunyai banyak pesakit, dan pesakit yang datang pun kebanyakannya bukan dari daerah yang dilanda Tsunami, sedangkan kami perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 100 responden dari Aceh.

Selepas taklimat tentang rumah sakit, mereka melanjutkan perbincangan dengan menjawab soalan kami tentang sejarah perjuangan Islam di Aceh. Mereka memang mengagumkan! Melihat mereka menceritakan sejarah Naggroe kelahiran mereka, kami tahu bahawa mereka tidak belajar sejarah hanya untuk lulus peperiksaan, seperti kebanyakan kami. Kami malu sendiri, kerana jika ditanya tentang sejarah Malaysia, kebanyakan skrip jawapan peperiksaan sejarah dulu sudah hilang dari memori. Mungkin ada yang menganggap Malaya pernah dijajah Belanda!

Kami kemudiannya dibawa ke seluruh rumah sakit. Kemudahan yang ada termasuk Unit Rawat Inap (Ranap) yang mempunyai bilik kelas satu, dua dan tiga, Unit Gawat Darurat (UGD), bilik bersalin, bilik operasi, dan apotek. Menariknya, rumah sakit tersebut juga mempunyai unit khas untuk ‘homevisit’ kepada semua pesakit yang telah dibenarkan pulang. Kami diperkenalkan kepada para perawat dan karyawan, dan kemudian lawatan tersebut disertai oleh Pimpinan RS BSMI, Pak Heri Riswandi. Satu berita baik yang kami dapat ialah Dr Rosaria Indah, supervisor kami yang akhir-akhir ini tidak dapat dihubungi rupanya kehilangan telefon bimbitnya. Kami telah mendapatkan nombor telefonnya yang baru melalui Pak Heri.





Selepas Zuhur kami menunggu Dr Rosaria Indah di ruang menunggu RS BSMI. Berdebar juga dalam hati, kerana selama ini kami hanya berhubungan melalui email dan sms, tidak pernah berkenalan terus dengan orangnya. Nyata beliau seorang yang ramah, pandai berlelucon, sangat ‘friendly’, dan kelihatan berjiwa kental. Dr Rosa memberikan solusi kepada masalah responden mini-research kami: turun langsung ke masyarakat di daerah gempa. Alhamdulillah, terus dirancangkan perjalanan kami buat beberapa hari. Sambil membincangkan tentang mini-research, beliau dan Pak Heri sempat juga bertanya asas tarbiyyah kami. Sempat juga Pak Heri berkata, “Di sini bumi jihad, di sana bumi bersenang-lenang”. Dan seorang Hafizah di kalangan kami, Kak Ashiah, serta merta mendapat tugasan untuk tasmi’ surah al-Rahman dan al-Waqi’ah pada hari Jumaat nanti!



Makan siang kami lewat, lebih kurang jam 2.30. Kami memilih sebuah warung bersebelahan rumah sakit, namanya Warung Shidqi. Menu pilihan kami? Indomie telur, hanya 7 ribu sepinggan. Ada juga yang memilih Mi Aceh dan Nasi Goreng Bombay. Enak!



Selepas makan, kami menuntun Dr Rosa dengan ‘Honda’nya ke Kompleks PKS untuk memberikan kunjungan takziah atas pulangnya seorang ustaz ke Rahmatullah. Beliau meninggal pada usia yang masih muda, 39 tahun, kerana stroke. Sempat juga kami bersilaturrahim dengan akhawat yang turut berada di situ.


Selesai takziah, kami berjalan kaki ke rumah-rumah di kompleks perumahan tersebut. Tujuannya? Tentulah untuk penelitian kami. Kami sempat bersilaturrahim ke beberapa buah rumah dan mendapat beberapa responden petang itu. Yang nyata, pengalaman Tsunami mereka seolah-olah masih segar dalam ingatan, walaupun mereka sudah tidak trauma. Dr Rosa mencadangkan kami menyusun responden mengikut tempat tinggal mereka, kerana mungkin terdapat perbezaan psikologi antara yang masih menetap di daerah Tsunami dan yang sudah berpindah. Petang itu juga kami mendapat tahu yang Dr Rosa sedang hamil 7 bulan sewaktu bermatian menyelamatkan diri dari dikejar air Tsunami!

Sesudah itu, kami singgah di Al-Fityan School, sebuah sekolah berasrama untuk anak-anak yatim. Dr Rosa punya urusan dengan seorang ustazah di situ, tapi sambil menyelam kami minum air. Ramai anak-anak yatim di situ yang terlibat dengan Tsunami, jadi Dr Rosa juga mengaturkan supaya kami dapat mengedarkan kuesioner kepada anak-anak Al-Fityan.

Kemudian kami ke rumah ustazah yang ingin dikunjungi Dr Rosa. Terrungkailah misteri pertanyaan Dr Rosa sebelum itu, “Kalian ada yang pandai berbahasa Arab?”. Rupanya Ustazah Rawiyah berasal dari Mesir, maka kebanyakan perbualan kami petang itu berlangsung dalam Bahasa Arab. Tergagap-gagap kami dibuatnya, di fikiran cuma terfikir ‘Kaifa haluki, Alhmadulillah bikhair’. Mujurlah Dr Rosa agak baik Bahasa Arabnya, dan di antara kami pun ada yang mampu berbahasa Arab serba sedikit. Dalam kekalutan bahasa, pesanan ustazah yang kami pasti tidak lupa ialah tentang ramainya doktor Muslim, tapi sedikitnya doktor Muslim yang memahami Islam dan mengamalkannya.


Kami masih di jalanan sewaktu azan Maghrib berkumandang. Ali (sudah tiada Cik, kerana umurnya sebaya saja dengan kami) membawa kami ke sebuah masjid untuk solat. Turun dari kereta, kami lihat dia seperti mencari-cari sesuatu dan bertanya-tanya kepada orang di situ. Sedang kami mencari tempat wudhu’ wanita, Ali kembali dan menunjukkan kami tempat wudhu wanita. Sungguh tak disangka, mencarikan tempat wudhu’ pun termasuk dalam servisnya!

Kami pulang ke rumah seusai solat Maghrib dan jama’ Isya’. Keletihan selepas satu hari yang panjang, tapi masih perlu syura untuk aktiviti esok, dan menyiapkan bahan pengajian tentang hipertensi. Ya Allah, berkatilah apa yang kami lakukan ini, dan berilah kami kekuatan untuk terus melakukan kebaikan..

Saturday, October 30, 2010

A Treasurer's Diary (Part 2)

Assalamualaikum

Alhamdulillah… 2 case write up n logbook dah hantar. Sekarang. Kena focus study. Dah nak exam… Rumate (you know who), pastikan saya tidak leka bermain Plants vs Zombies (“,)

Nak sambung cerita kat Aceh la skit…

Setibanya di Aceh, bermulalah kembara. Rancangan awal akan membuka akaun di salah satu bank Indonesia. Jadi tak perlulah membawa tunai ke mana-mana, tetapi setibanya di Aceh masing-masing mula terfikir. Memandangkan sepanjang kembara ini, kita akan mengembara ke beberapa buah tempat termasuklah ke tempat yang mungkin tiada mesin ATM. Jadi apa gunanya membuka akaun kalau nanti susah untuk mengeluarkan wangnya. Semua sepakat mengambil keputusan yang berani, kita sama2 jaga wang yang dibawa.

Memandangkan duit sponsor tak dapat lagi, hanya yang ada untuk perbelanjaan bersama kita di Aceh hanyalah dari hasil penjualan buku (terima kasih banyak kepada Dr Samsul yang memberi idea tentang bisnes buku). Jadi sepanjang kembara, Nabilah telah mengutip duit dari setiap seorang dari kita dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan. Hasil wang yang dikumpul telah digunakan untuk perbelanjaan bersama. Contohnya, minyak mobil, belanja supir makan, tiket masuk muzium , tiket masuk water theme park, beli keperluan rumah dan bahan masakan, etc…. Bila diut yang dikumpul dah makin berkurang, “Kawan-kawan, sori ye. Nak kena kutip lagi duit dah makan kurang. Kali ni kita kutip 150 000 Rupiah seorang. Boleh tak?” Semua orang memang best, setiap kali mintak mesti boleh. Terima kasih di atas kerjasama.

Demi untuk mengurangkan kos hidup di Aceh (tempat pertama yang dituju dalam kembara ini), kami mengambil keputusan untuk memasak sendiri sarapan pagi dan makan malam. Sarapan pagi kebiasaannya diketuanya Nad, Iman, Solehah, etc… Makan malam pulak ketua chef semestinya Kak Ashiah dan Naz. Mana yang lain? Mungkin tak terpilih menjadi chef tapi menjadi pembantu yang setia, sentiasa menolong di waktu pagi dan malam. Berganding bahu. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Macam mana dengan lunch? Ooo.. lupa pulak. Jadual kita sangat penuh di Aceh. Memang buat research betul la. Tengah hari mana sempat nak balik rumah. Shidqi la tempat favourite kita untuk lunch. Order apa? Simple, murah dan sedap (semua orang nak berjimat)- Indo Mee atau dalam kata lain magi goreng.
Ketika kita galak ingin berjimat-cermat, kita diuji.. Ingat lagi satu malam selepas kepenatan mencari respondants, masing-masing perut sudah kelaparan. Huhu.. dengan badan yang kepenatan, tidak mungkin untuk kita memasak di rumah lagi. Ali, boleh tak singgah di mana-mana kedai makan. Kami tak nak gerai di tepi jalan, terbuka sangat.. kami tak nak kedai yang nampak eksklusif sangat, nanti mahal.. Kami nak cuba kedai tu.. berhenti2... Kawan-kawan ingat lagi tak kedai mana? Rumah Makan Masam Keu-Eung. Apabila kita duduk je diorang terus meletakkan hamparan lauk-pauk yang banyak. Semua tergamam. Ali tersenyum. Rancangan awal kami ingin memesan masakan panas, lebih murah. Tapi di Keu-Eung hanya ada nasi hidang. Bismillahirrahmanirrahim..makan. Tapi banyak sangat lauk ni. Ketika semua tengah menikmati hidangan makan malam yang lazat, Ali baru bersuara, "Nanti bayaran mengikut pinggan yang kalian makan." Ooo..ye ke. Pinggan ini dah sentuh, habiskan lauk ni. Yang tak sentuh lagi, tak payah makan laa... Setelah selesai menjamu selera, tibalah sangat yang dinantikan.. berapalah agaknya harga mkan malam kita hari ni. 181 000 Rupiah! Semua berjalan keluar menuju ke mobil dengan wajah yang tersenyum. Memilih sangat, nak yang murah, bersih, sedap.. sekarang... Apa pun. kami bersyukur. Alhamdulillah, dapat juga akhirnya merasa masakan Aceh selain dari Indo Mee. (^_^) Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Menu istimewa sarapan pagi di Aceh. Sedapnya...

Perbelanjaan di Aceh, Alhamdulillah tak lari sangat dari budget asal. Memang ada yang terlebih dari apa yang dibudget, contohnya untuk transportation, sebab kita banyak travel dari kampong ke kampong yang lain untuk cari respondants. Ingat lagi bila supir kita yang sangat banyak membantu kita semasa research tu nak menuju ke arah stesen minyak, Nabilah mesti kelam kabut cari purse. Ye la nak prepare duit, nak bagi kat supir untuk bayar minyak kereta. Kalau tak, nak kena pinjam dulu dari kawan-kawan.

Terima kasih kepada Solehah kerana bawak kalkulator ke Sumatra Barat. Kalau tak, pening bendahari ni nak kira duit. Nak convert nilai RM ke nilai Rupiah yang berjuta2, nak kira perbelanjaan harian kita, nak bahagi-bahagikan duit donation etc. Thanks a lot. Tak tahu la macam mana boleh terlupa nak bawak kalkulator. Mungkin itulah gunanya sahabat (^_^).

Nak tahu 1 rahsia? Bukan la rahsia sangat pun. Tahu tak apa perkara wajib mesti ada dalam beg seorang bendahari Kembara 2 Gempa. Dalam beg galas bendahari yang sentiasa dibawa ke mana-mana ada empat barang wajib; duit (belanja sendiri, donation, humanitarian), kalkulator, buku rekod perbelanjaan + pen dan passport.

Kawan-kawan,

Ingat lagi tak time kita berdiskusi dengan sangat hebatnya (eh..bukan diskusi, tapi syura. Hehehe…) sama ada nak pegi ke Pulau Sabang atau tak. Ke Pulau Sabang bukan untuk mencari respondants tapi untuk rehatkan minda je. Orang Aceh cakap kalau ke Aceh, wajip ke Sabang. Tempatnya cantik kali. Airnya yang jernih, pantainya yang memutih pasti memikat hati si pelancong. Supervisor kita yang disayangi, Dr Rossa yang mengusulkan cadangan.

Semua tekun mendengar update perbelanjaan yang dibentangkan, bertempat di BSMI.

Sebelum kata sepakat dicapai… Kita kena tanya bendahari dulu. Kalau kita ke Sabang, akan terlebih budget ke tak nanti. Mana la tahu nanti bila sampai di Padang dan Maninjau dah kekurangan wang, nak buat macam mana. Baiklah sabar yer. Nak kira jap. Tap..Tap.. (Tengah tekan kalkulator) Sebenarnya insyaAllah cukup je. Setakat ni, apa yang kita belanjakan kurang je dari apa yang ada dalam budget. Namun setelah mempertimbangkan segala keadaan dan kemungkinan, kami telah membuat keputusan untuk tidak ke Sabang. Research diteruskan.
Satu minggu sebelum kembara di Aceh berakhir..

Isu seterusnya ialah untuk ke Medan. Memang tak de orang yang boleh dihubungi. Masalah pertama, macam mana kita nak ke Medan. Masalah kedua, nanti di Medan nak tinggal di mana. Masalah ketiga, macam mana dari Medan nak ke Padang. Tiap-tiap hari kita syura, di mana saja dan bila-bila saja masa terluang. Dari Aceh ke Medan bukannya dekat, 15 jam dengan kenderaan darat. Akhirnya keputusan dicapai, kita naik bas ekspres ke Medan. Namanya nas ekspres tapi macam bas lompat. Ada air-condition tapi ada orang merokok. Walaupun bas dah penuh, driver masih lagi berhenti ambik penumpang. Jadi, ramai la yang berdiri di tengah laluan. Macam bas awam nak ke bandar. Namun, hati terubat dengan pemandangan yang indah. Kita telah melalui sawah padi yang menguning, ladang getah yang menghijau, hutan belantara yang sunyi sepi dihiasi gajah yang ditunggangi, kawasan perkampungan yang damai, pekan yang sibuk dengan urusan jual beli… Namun, Aceh tetap Aceh. Di sepanjang perjalanan begitu banyak masjid yang kita telah lalui. Masjid-masjidnya bukanlah besar ataupun hebat, namun yang menyentuh hati ialah ianya sentiasa diimirahkan. Tepat masuk waktu solat, ramai yang menuju ke masjid yang tidak berkipas, apalagi air-cond.


Berdiskusi di luar masjid, sementara menunggu supir menjemput kami.

Demi untuk meneruskan perjalanan kembara yang masih jauh, kita telah memilih 1 pakej pelancongan yang sangat murah, yang mungkin tidak ditawarkan kepada orang lain. Pakej itu termasuk penginapan dan jalan-jalan di Medan, perjalanan 1 hari ke Danau Toba dan perjalanan ke Padang. Pada mulanya tiada agensi pelancongan yang ingin memberikan perkhidmatan dan tawaran harga yang kita inginkan. Alhamdulillah, akhirnya dengan dengan bantuan kenalan Iman dan Solehah dapat juga kita sampai ke Medan dan Danau Toba. Berapa budgetnya, 110 000 Rupiah seorang. (Pengalaman selanjutnya di dalam travelog).

* All the best kawan-kawan for coming exam. Semoga dipeermudahkan Allah urusan kita semua. Amin.

Nak ambik kesempatan ini, memohon sejuta kemaafan kalau ada salah dan silap.

Wednesday, October 13, 2010

A Treasurer's Diary

Assalamualaikum

Tiba2 hati ini terdetik untuk mencoretkan sesuatu di blog kita yang sudah lama menyepi. Terasa ingin berkongsi mengenai pengalaman menjadi TREASURER Kembara 2 Gempa. Tak de la best sangat atau menarik sangat, tapi nak saje share experience. Jutaan terima kasih kepada sahabat2 seperjuangan, team kembara 2 Gempa di atas sokongan yang tak belah bahagi semasa kita di bumi Sumatra Barat. Terima kasih di atas kepercayaan kalian. I really appreciate it..

Ingatkan jadi bendahari Kembara 2 Gempa ni macam jadi bendari kelas je. Rupanya macam jadi menteri kewangan Malaysia. Hehehe… Berangan pulak. (mungkin sedikit exaggerate) (^_^)

Teringat lagi saat kita semua syura utk pembahagian tugas. Tugas sebagai secretary ditolak. Rasanya Iman yang lebih layak dalam isu surat-menyurat n dokumentasi ni. Duit… em..macam lebih senang, kita kan ada ajk sponsorship. Lagi senang kerja treasurer. Hehee..boleh la. “Nabilah terima jadi bendahari (^_^).Tugas dan taggungjawab diterima dengan hati terbuka, tanpa terfikir cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi.

Tugas pertama dari ketua, Najwa. “Nabilah, sediakan budget kita di sana; Aceh, Lake Toba,Medan, Maninjau”. Huhu.. mcm mana ni, setiap tempat berlainan orang yang dihubungi, tempat penginapan, transportation. Kalau tersalah budget, nanti tak cukup duit kami di sana, mcm mana nak survive di perantauan. Alhamdullillah, Ustaz Asri dari GPM banyak membantu. Berdasarkan pengalaman beliau, dapatlah anggaran budget yang diperlukan. Settle 1 problem.

1 bulan sebelum bermula kembara…

“Nabilah, berapa ringgit yang perlu kita bawa ke Indonesia?”. Alamak, berapa ye.. Ok, relaks Nabilah. Tengok la budget tu… Masalahnya, di setiap destinasi yang akan kami pergi nanti berlainan orang Indonesia yang dihubungi, maksudnya kos untuk setiap tempat adalah berbeza (tempat penginapan , transportation, etc.) Kami mungkin akan berteduh di pejabat GPM di Aceh, hotel di Medan, rumah pelajar di Padang, pesanteran di Maninjau. Malah kami tidak dapat menghubungi sahabat Indonesia di Medan untuk membantu kami di sana nanti. Apa yang pasti semuanya masih tidak pasti, masih kabur, semuanya akan terjawab apabila kami tiba di sana nanti.

2 minggu sebelum bertolak…

Sponsorship yang kita dapat kurang dari RM3K. Duit sponsor kat finance lagi, dorang uruskan utk exemption income tax kemudian nak kena bank in ke akaun Dr Samsul. Tak sempat ni. Kawan2, kita kena berkorban skit la. Kena guna duit sendiri dulu, nanti dah balik Malaysia kita ganti balik ye. Maaf ye..

Setiap org bawak dalam RM3K yang ditukar ke nilai Rupiah. Yeay..semua jadi jutawan. Bendahari, jangan lupa banyak duit untuk donation n humanitarian work sekali ye. Habis tu berapa juta nak kena bawak ni.. Huhu, banyak nyer nak bawak cash. Takut sampai tak tidur malam. Huhuhu..

Alhamdulillah.Akhirnya sampai la kita di bumi Indonesia.. NAD Nanggroe Aceh Darussalam..




To be continued....nak sambung buat case write up dulu

Thursday, August 26, 2010

Terima kasih kerana bermimpi

Peperiksaan makin hampir. Entah kenapa persediaan kali ini tidak seperti sebelum-sebelumnya. Boleh dikatakan sangat ala kadar. Mungkin kerana ketiadaan revision week? Entahlah. Padahal ini sudah tahun terakhir. Mana mungkin usaha sekadar sambil lewa.

Bukan tidak takut. Cuma usaha tidak berkadar dengan ketakutan. Ibarat orang yang bilang takut pada Tsunami, tapi bila Tsunami datang dia cuma berlenggang lari dari air.

Tidak seriuskah? Atau sepertinya sudah give-up?

Tiba-tiba teringat kata-kata itu:

"Tapi kak, itu mimpi"

Itu mimpi, katanya. Satu malam di Maninjau, seorang gadis menceritakan keinginannya untuk melanjutkan pelajaran. Gadis itu, dengan mata berkilau dan wajah tersenyum penuh harapan, satu persatu menceritakan rancangannya. Mahu sambung di bidang perniagaan. Impiannya mahu memiliki perniagaan sendiri. Kemudian mahu merantau menambah ilmu lagi, mahu sambung S2 dan belajar lebih tinggi lagi. Mahu bantu keluarga di Maninjau dengan ilmu dan kejayaannya. Gadis itu, hasratnya, betapa dia mahu terbang tinggi!

Tapi cerita indah masa depannya diakhiri dengan:

"Tapi kak, itu mimpi. Orang tua saya takkan mampu sekolahkan saya setinggi itu. Itu hanya mimpi"

Saat itu aku terdiam, tersentak dengan kenyataan.

Dan hari ini sekali lagi aku tersentak dengan kenyataan.

Aku di sini bukan mimpi. Belajar di universiti terkemuka ini bukan mimpi. Menjadi pelajar perubatan tahun akhir ini bukan mimpi. Hampir menggapai cita-cita ini bukan mimpi. Menghadapi peperiksaan minggu depan bukan mimpi!

Allah. Bagaimana sanggup aku mensia-siakan kesempatan belajar ini, sedangkan di sana ada gadis yang hanya mampu bermimpi untuk belajar lebih tinggi. Bagaimana tega aku berputus asa, sedangkan di sana gadis itu tak pernah henti semangatnya walaupun cuma bermimpi..

____________________________________________________


Adik-adik,
Semangat kalian jadi pemangkin kakak di sini. Cita-cita tinggi kalian jadi pembakar usaha kami. Mimpi-mimpi indah kalian, ah, kami akan terus merealisasikan mimpi!

Adik-adik, terima kasih kerana bermimpi..

Wednesday, August 4, 2010

Yang Seindah Namanya..


Dr. Rosaria Indah, jika diteka dari keindahan namanya, pastilah yang dibayangkan adalah seorang wanita berkulit putih licin, halus suaranya dan lembut pergerakannya, kecil langkahnya, memakai handbag bergaya dan baju berwarna merah jambu dan kain skirt yang bercorak bunga ros. Tetapi, nyata aku perkiraanku jauh tersasar. Wanita berumur sekitar 30-an beranak dua ini berkulit coklat, berjilbab labuh, pergerakannya pantas, memakai beg besar yang tertulis koala dan ada sebuah sulaman ‘koala bear’ yang terlekat padanya, suaranya tegas dan bajunya tidak ada yang bercorak bunga ros. Kalau dipanggil untuk berjihad, dia sentiasa siap. Setelah kenal dengannya, dia lebih cantik, jauh lebih cantik dari Dr. Rosaria Indah hasil imajinasi singkatku.

Pertama kali bertemu, dia sedang memakai sarung tangan, dan bila dia membuka sarung tangannya, terlihat kesan ‘sunburn’ yang ketara. Ya, kerana dr ke mana2 menunggang Honda (panggilan umum untuk motorsikal di Aceh, kerana majoriti motor berjenama Honda) bukan kereta mewah, biarpun telah membuka sebuah klinik swasta di sini. Klinik Al-Wafa’ bukan klinik biasa. Ia dibuka dari jam 5 petang hingga 9 malam. Aneh. Kerana di siang hari dr sibuk melunaskan da’wah. Dia punya sejuta kesibukan, seorang pensyarah anatomi di Universiti Syiah Kuala, memperjuangkan dan menyusun kurikulum perubatan baru agar terlaksana di universitinya, halaqahnya setiap hari, menyusun kegiatan-kegiatan Islami di Banda aceh, mengisi jemputan-jemputan untuk acara mahasiswa, kajiannya dengan ibu-ibu di kampung-kampung yang berlainan hampir setiap hari, dan jangan lupa, di petang dan malamnya dia harus mengurus klinik.

Tidak hairanlah, ketika minggu pertama bersama dr, kami sudah menemaninya ke satu kajian bersama ibu-ibu dan mengikutnya mengisi kajian bersama mahasiswa di fakultas Ekonomi dan ternyata juga jaringannya dengan masyarakat adalah meluas sehingga ini mempermudah kami mencari lubuk-lubuk responden untuk kuesioner kami. Dan walaupun dia sesibuk itu, masih juga menyempatkan diri untuk berenang2 di ‘waterboom’ bersama kami. Masa-masa yang diluangkan bersamanya tidak pernah sunyi dari kisah-kisah pengalaman yang seringkali membuat kami tersenyum dan berfikir dalam.

Benarlah, bertemu dengan orang-orang soleh itu menyegarkan iman. Terinspirasi. Saatnya orang itu jelas bahawa hidup ini untuk Allah dan untuk bekerja demi kemenangan Islam, hidupnya menjadi luas, hatinya terasa lapang kerana keikhlasan. Keyakinan akan pertolongan Allah itu membuat seseorang itu pandai meletakkan prioriti dalam pilihan dan tidak berkompromi lagi untuk berkorban. Kalau kekayaan dunia atau kekuasaan yang dikumpul, pasti nafas terasa sesak dan jantung berdegup laju, masa yang 24 jam itu seperti tidak cukup. Allah tidak diingat lagi, jadi rasa terseksa kerana rasa tidak kuat dan tidak mampu atas usaha sendiri.

Terima kasih Dr. Rosa. Kami juga ingin menjadi doktor yang luarbiasa sepertimu di suatu hari nanti...Doakan kami ya! Kami kangen..kangen kali, semoga kita kan dipertemukan lagi..

Saturday, July 10, 2010

Selamat Jalan






Adik-adik.. jangan sedih ye.. kesatlah air mata dengan tisu. kakak-kakak kangen kali sama adik-adik. Insya Allah kita kan bertemu lagi, kalau bukan di dunia ini.. di syurga nanti PASTI..Amiin

Ini lagu yang adik-adik nyanyikan buat kakak-kakak di malam Wida', tak mungkin kami lupakan hingga akhir hayat nanti..

SELAMAT JALAN =)

Kita harus menerima bahwalah
Memang tak ada kisah yang bisa sempurna
Seperti yang selalu diimpikan
dan mimpi tak slalu jadi kenyataannya
ada awal dan ada akhirnya
Yang mungkin tak dapat terurai semua
ada duka.. ada bahagia
Yang mungkin tak dapat tuk terlupakan
Dan hatiku berkata

Selamat jalan kakakku
Manis yang berujung peri
Kisah yang sungguh terlalu indah
Kini semua berakhir sudah

Selamat jalan kakakku
Walau tak masa yang peri
Namun aku pasti coba..
Tuk jalani ini semua....



Saatnya kita ketemu lagi, tak akan kami melepas adik-adik pergi, semoga pertemuan itu indah seindah pertemuan pertama kita.. malah lebih indah lagi.

Jangan pernah berhenti menyimpan mimpi, biar apapun, biar harus seorang, biar penuh kesulitan, kerna yakinlah kalian dijanjikan masa depan yang gemilang dengan Al-qur'an yang penuh di dada dan diri2 yang telah mantap dibina dengan qiyamullail,nawafil, dan sawm kalian, Allah pasti takkan mensia-siakan, dan kakak-kakak juga tak ada yang merisaukan. Kalian berada di bawah penjagaan Allah selalu.

Yakinlah... kerna Allah itu maha Adil.