Wednesday, August 4, 2010

Yang Seindah Namanya..


Dr. Rosaria Indah, jika diteka dari keindahan namanya, pastilah yang dibayangkan adalah seorang wanita berkulit putih licin, halus suaranya dan lembut pergerakannya, kecil langkahnya, memakai handbag bergaya dan baju berwarna merah jambu dan kain skirt yang bercorak bunga ros. Tetapi, nyata aku perkiraanku jauh tersasar. Wanita berumur sekitar 30-an beranak dua ini berkulit coklat, berjilbab labuh, pergerakannya pantas, memakai beg besar yang tertulis koala dan ada sebuah sulaman ‘koala bear’ yang terlekat padanya, suaranya tegas dan bajunya tidak ada yang bercorak bunga ros. Kalau dipanggil untuk berjihad, dia sentiasa siap. Setelah kenal dengannya, dia lebih cantik, jauh lebih cantik dari Dr. Rosaria Indah hasil imajinasi singkatku.

Pertama kali bertemu, dia sedang memakai sarung tangan, dan bila dia membuka sarung tangannya, terlihat kesan ‘sunburn’ yang ketara. Ya, kerana dr ke mana2 menunggang Honda (panggilan umum untuk motorsikal di Aceh, kerana majoriti motor berjenama Honda) bukan kereta mewah, biarpun telah membuka sebuah klinik swasta di sini. Klinik Al-Wafa’ bukan klinik biasa. Ia dibuka dari jam 5 petang hingga 9 malam. Aneh. Kerana di siang hari dr sibuk melunaskan da’wah. Dia punya sejuta kesibukan, seorang pensyarah anatomi di Universiti Syiah Kuala, memperjuangkan dan menyusun kurikulum perubatan baru agar terlaksana di universitinya, halaqahnya setiap hari, menyusun kegiatan-kegiatan Islami di Banda aceh, mengisi jemputan-jemputan untuk acara mahasiswa, kajiannya dengan ibu-ibu di kampung-kampung yang berlainan hampir setiap hari, dan jangan lupa, di petang dan malamnya dia harus mengurus klinik.

Tidak hairanlah, ketika minggu pertama bersama dr, kami sudah menemaninya ke satu kajian bersama ibu-ibu dan mengikutnya mengisi kajian bersama mahasiswa di fakultas Ekonomi dan ternyata juga jaringannya dengan masyarakat adalah meluas sehingga ini mempermudah kami mencari lubuk-lubuk responden untuk kuesioner kami. Dan walaupun dia sesibuk itu, masih juga menyempatkan diri untuk berenang2 di ‘waterboom’ bersama kami. Masa-masa yang diluangkan bersamanya tidak pernah sunyi dari kisah-kisah pengalaman yang seringkali membuat kami tersenyum dan berfikir dalam.

Benarlah, bertemu dengan orang-orang soleh itu menyegarkan iman. Terinspirasi. Saatnya orang itu jelas bahawa hidup ini untuk Allah dan untuk bekerja demi kemenangan Islam, hidupnya menjadi luas, hatinya terasa lapang kerana keikhlasan. Keyakinan akan pertolongan Allah itu membuat seseorang itu pandai meletakkan prioriti dalam pilihan dan tidak berkompromi lagi untuk berkorban. Kalau kekayaan dunia atau kekuasaan yang dikumpul, pasti nafas terasa sesak dan jantung berdegup laju, masa yang 24 jam itu seperti tidak cukup. Allah tidak diingat lagi, jadi rasa terseksa kerana rasa tidak kuat dan tidak mampu atas usaha sendiri.

Terima kasih Dr. Rosa. Kami juga ingin menjadi doktor yang luarbiasa sepertimu di suatu hari nanti...Doakan kami ya! Kami kangen..kangen kali, semoga kita kan dipertemukan lagi..

No comments:

Post a Comment