Friday, June 25, 2010
Thursday, June 24, 2010
Day 3
Bersama Ustaz Ghufran dan Ustazah Rawiyah di hadapan Kompleks Al-Fityan
Anak-anak SD yang imut=)
Anak-anak di Al-Fityan dididik bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan akademik tetapi penekanan diberikan kepada pembentukan peribadi melalui modul tarbawi yang disusun rapi. Anak-anak ini juga ini diajar untuk punya kreativiti dan kemahiran untuk mampu berdikari setelah melangkah keluar dari institusi. Mungkin anak-anak ini bukanlah no 1 dalam akademik jika di hantar ke institusi pengajian yang lain, tetapi jika mereka masuk pertandingan mencipta replika dari bahan-bahan terpakai, merekalah yang juara.
Dik, jangan atas sangat angkat sepanduk tu, nanti mukanya tertutup
Mengedar kuesioner dari kelas ke kelas
Anak-anak korban tsunami itu pada 3 ke empat bulan yang pertama pasca tsunami bila dibawa kelaut seringkali terlihat hantu dan rumah usang. Pada bulan seterusnya mereka mula membayangkan rumah dan masjid, bermakna trauma mereka sudah berkurang. Setelah setahun mereka sudah berani membenamkan diri ke dalam air. Tetapi anak-anak yang ayah dan ibunya menjadi korban konflik Aceh dihantui trauma kronik. Jika diselongkar almari mereka bukanlah gambar Irwan Shah, David Beckham atau Ferrari yang tertampal di dindingnya tetapi M16, revolver dan berbagai variasi senjata. Permainan anak-anak lelaki di sini bukan Final Fantasy atau Teng-teng tetapi permainan perlawanan askar Republik Indonesia dengan pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Sedikit yang mahu menjadi askar Indonesia, majoriti mahu menjadi pejuang GAM. Tetapi ajaib luar biasa kerana tidak tergambar kesedihan di raut wajah mereka.
Anak-anaknya begitu ceria dan semangat sekali menyambut kehadiran kami. Kuesioner-kuesioner dijawab dengan rela hati dan senang sekali. Pernah suatu kali anak-anak nakal ini bertanya pada Dr. Rosa. “Dr yang cantik manis, izinkan saya bertanya, mimpi basah itu apa ya? Inilah kasih sayang Allah menghadiahkan sikap lupa buat manusia. Sehingga anak-anak ini boleh meneruskan kehidupan tanpa menanggung beban kesedihan yang dulu pernah mereka rasai. Sehingga seorang suami yang kehilangan isteri yang sangat dicintai kerana ditenggelami air tsunami dan mayatnya tak pernah ditemui lagi boleh berkahwin dan memperolehi zuriat lagi 2 tahun selepas itu. Allah, di setiap kejadian-Mu, sering kali ada hikmahnya.
Di petang hari, kami menghadiri pertemuan dengan Dr. Rosa dan anak-anak didiknya di Klinik Al-Wafa’ di Jln. Soekarno Hatta. Hati-hati kami yang kering kerontang kembali subur disentuh dengan pengisian, ‘Baru semalam aku di neraka’ oleh Dr. Rosa. Kami mendengar pengisian sambil mengunyah pisang dan biskut jagung. Setiap di antara kami pasti punya versi sendiri tentang siapakah Dr. Rosa selama 2 minggu perkenalan ini. Izinkan aku menceritakan versiku...
Wednesday, June 23, 2010
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, atas kemanisan nikmat iman dan islam, dan kemanisan ukhwah yang kita kecapi selama ini.
Selawat dan salam atas rasulullah, yang dengan perjuangan dan titik peluhnya kita semua disinari cahaya agama yang mulia ini..
Sudah kangen kali sama kalian ;)
Apa khabar semua?
Alhamdulillah, kembara kita di perantauan selama sebulan telah berakhir. Pulangnya kita ke tanah air ini, harap membawa bekalan yang banyak dari seberang sana. Dan jangan juga kita lupa semua pengajaran dan mutiara yang telah kita kutip sepanjang perjalanan, semoga bermanfaat buat kita sendiri dan rakan-rakan yang tidak ikut serta. Semoga dengan keikhlasan kita berguru dan berkongsi ilmu di sana, Allah menerima setiap kebaikan yang sempat kita lakukan. Segala kelalaian dan kekhilafan kita selama itu, sama-samalah kita muhasabah, semoga diampunkan Allah dan dapat kita jadikan pengajaran..
Sahabat-sahabat, semangat juang dan kegigihan berjihad yang pelajari dari sahabat-sahabat di sana harap kekal dalam diri kita, semoga jadi bekalan untuk kita tempuhi hari-hari muka..
Sama-sama kita doakan kesejahteraan dan limpahan rezeki buat sahabat-sahabat di sana yang telah memuliakan kita sebagai tamu istimewa, semuanya atas dasar kesatuan Aqidah dan ukhwah islamiyyah..
Selamat menghabiskan masa cuti lagi beberapa hari dan kembali ke UIA untuk memulakan kerja-kerja wrap-up kita ya :)
Tuesday, June 22, 2010
Day 1
Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh
Kami tiba di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh, Nanggroe Aceh Darussalam (NAD) pada jam 12.20 pm. Bandar Udara ini tidak terlepas dari penangan Tsunami, tapi dibangun semula dengan menggunakan bantuan dana antarabangsa. Disambut oleh K.Nila, ibunya, ibu mertuanya, Tia, Ali dan 2 lagi insan yang aku telah lupa namanya. Terasa kehangatan ketika berpeluk dengan orang2 yang bakal menjadi keluarga bukan hanya untuk 2 minggu di Aceh ini tapi buat selama-lamanya bermula pada saat ini. Kebiasaan orang Aceh ini berbeza dengan di Malaysia. Mereka berpelukan hanya menukar sisi pipi untuk dua kali, sedangkan di Malaysia tiga kali. Jadi kami pun menyesuaikan diri dengan budaya ini walaupun kadang-kadang tersilap. Tapi setelah 2 minggu di sini terasa asing pula bila menukar sisi pipi 3 kali.
K.Nila tersenyum manis
Dalam perjalanan ke rumah sewa di Lampenereut kami melihat motorsikal sangat banyak berbanding dengan kereta. Jalan rayanya hiruk pikuk dengan kenderaan yang hon untuk berkomunikasi dengan pemandu lain, contohnya untuk berterima kasih, memaklumkan kedekatan, meminta izin untuk memotong dan untuk membelok. Berbeza dengan Malaysia, hon digunakan untuk mengekspresikan rasa marah jika pemandu itu membuat kesilapan yang menyusahkan, penutup lubang minyak lupa ditutup ataupun untuk memberitahu pemandu bahawa bajunya sudah tersepit di luar pintu. Orang Malaysia sangat sensitif jika di hon, lebih-lebih lagi kalau yang baru lulus kelas memandu bisa gelabah dan dapat serangan panik. Tapi di Aceh ini adalah biasa, malah disenangi.
Kami diamanahkan k. Nila sebuah rumah kembar dua di Gampung Lambaroh, Lampenereut, setingkat dan punya 2 bilik. 1 bilik dikhaskan untuk gudang dan lagi satu bilik untuk kami tidur. Ruang tamu di bahagian luar boleh juga digunakan untuk tidur. Dapur lengkap tersedia dengan peralatan-peralatan makan yang mencukupi. Inilah masanya untuk masing-masing menunjukkan kehandalan di dapur. Nazhiyah, Najwa dan K. Ashiah tersenyum lebar. Sementara Nadzirah, Iman, Solehah, Nabilah dan Ila menyorok di bawah tilam.
Selepas makan tengahari di rumah, aku dan Najwa ke rumah Tok Kecil (Di Malaysia: Tok Penghulu) untuk memaklumkan kedatangan kami ke kampung. Tok Kecil ini seorang lelaki setengah umur yang tidak kecil dan baik orangnya. Tetapi ketika dia menghulurkan salam untuk berjabat tangan, aku di depan Najwa jadi secara refleks aku menyambut tangannya. Sedangkan Rasulullah tak pernah berjabat tangan dengan wanita. Aku merasa berdosa. Bukankah aku punya jilbab yang boleh kugunakan sebagai alas tadi? Tapi jilbabku ini tidak selabuh K. Ashiah jadi akan mengambil sedikit masa jika tanganku dialas dengan tudung ini. Ya Allah, aku harus pastikan selepas ini insiden ini tidak berulang lagi. Aku akan duduk di belakang kawan yang berjilbab lebih labuh selepas ini bila bertemu mana-mana lelaki di sini. Ataupun, aku tukar aja jilbabku ke yang lebih labuh.
Malam itu kami solat jama’ qasar di masjid Raya BaiturRahman. Kami tiba di waktu senja di masjid ini, melihat masjid ini berlatarbelakangkan langit senja yang memerah membuatkan aku terfikir adakah syurga seperti ini. Luarbiasa! Masjid yang mempunyai keluasan 3,330 hektar ini terletak di tengah-tengah banda Aceh dan boleh memuatkan sekitar 10,000 ke 13,000 jamaah. Arkitekturnya sangat indah, dinding-dindingnya berwarna putih dan 5 kubahnya berwarna hitam.
Ramai yang tahu bahawa masjid ini berdiri menghadapi badai tsunami yang garang sehingga ia tinggal satu, berdiri tegak di atas padang jarak padang tekukur. Menurut Tia, ketika tsunami, ribuan orang cuba menyelamatkan diri dengan memanjat dinding-dinding masjid, sampai ke kubah masjid penuh dengan manusia. Ada yang disingkap hijabnya dan ternampak satu sosok yang sangat besar sedang membentengi masjid dari terkena air tsunami. Sungguh Allah Maha Besar, ketika Allah ingin menunjukkan kekeuasaan-Nya, tiada apa atau siapa pun yang boleh menahan. Selepas Tsunami, mayat-mayat dikumpulkan di hadapan masjid ini untuk dikenal pasti oleh ahli keluarga.
Di hadapan masjid kami lihat ada 50 tiang-tiang yang berwarna-warni. Kalau dilihat sekilas pandang seperti tempat permainan kanak-kanak. Tapi, sebenarnya tiang-tiang itu adalah tiang-tiang yang menjadi pasak kedai-kedai dan rumah-rumah yang roboh dihentam tsunami yang tidak mengenal bulu.
Dari mimpi ia bermula =)
Tetapi, ketika kami merancang dan kerisauan semakin bertumpuk dalam kapasiti akal yang terbatas, sungguh perancangan Allahlah yang paling hebat. Saatnya kami syura di pejabat GPM di Gombak bersama Ustaz Asri, kami tidaklah meletakkan harapan yang tinggi bahawa rancangan ini boleh jadi kenyataan. Tetapi, pada ketika kami mengusulkan rancangan kami, Ustaz Asri menyambut sekilas dengan, “Insya Allah, bisa diatur, tiada masalah biarpun kalian ini perempuan semuanya,” Dalam pertemuan singkat selama 2 jam dengan Ustaz, dia terus mengatur peta perjalanan kami, jadual bas, tempat penginapan dan contact person ketika di sana nanti. Dikeluarkan peta kepulauan Sumatera yang besar dan ditunjukkan ‘route’ perjalanan kami. Terus dihubungi setiap contact person yang diusulkan, dan dialognya lebih kurang, “Afwan akhi, ana tahu lambat lagi, tapi cuma ingin dimaklumkan, bisa nggak kalau kami menghantar anak2 ini ke tempat anta pada tarikh ini dan ini?”. Dan jawapannya adalah “bisa bisa, Insya-Allah,” Sungguh, kami tidak pernah mengenal Ustaz Asri sebelum ini dan kami tidak pernah beraktiviti dengan GPM tapi dia tanpa reserve menggunakan secara maksimum pengalamannya tinggal di Bumi sumatera selama beberapa tahun untuk membantu kami. Allah Maha Besar yang menghantar ke dalam hati-hati yang seaqidah itu, kemanisan ukhuwwah yang sukar digambarkan tapi cukuplah hati yang merasai. Dan Ukhuwwah inilah yang menghantarkan kami ke bumi Indonesia, menemani dan mempermudahkan kami ketika di sana.. ukhuwwah yang tumbuh atas akar Ilahi, ia memberi tanpa pernah minta dibalasi, sesuatu yang kekal dan pastilah tidak roboh selagi tunjangnya hanyalah Ilahi.
Setelah itu, kami teruskan merancang untuk tajuk kajian kami di sana sebagai prasyarat untuk lulus elektif posting dan melayakkan kami ke tahun lima. Pada mulanya kami ingin mengkaji tentang ‘Post Traumatic Stress Disorder’, a comparison between Aceh and Padang, tetapi setelah Nadzirah berbincang dengan Dr. Ramli Musa, seorang pakar sakit jiwa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dia mencadangkan untuk kami melakukan kajian tentang DASS (Depression, Anxiety and Stress Score) kerana kuesionernya sudah sedia dalam bahasa Indonesia. Jadi, kami menukar tajuk kajian kami kepada ‘ DASS- A comparison between Acheh and Padang’. Setahun kemudian, dengan izin Allah, segala yang bermula dengan mimpi, kemudian perancangan, menjadi kenyataan...