Malam ini dipaksakan diri untuk menulis. Bukan pakar dalam menulis, dan modal tulisan ini nanti bukanlah lenggok bahasa yang indah dan pilihan perkataan yang puitis, tapi cukup dengan perjalanan yang sudah sedia indah dan berkesan dan tidak perlu lagi dihiasi dengan pujangga atau peribahasa. Itulah kembara kami berlapan selama 29 hari (yang kemudian di dua minggu akhir perjalanan menjadi 9 orang)
Bukankah rugi jika pengalaman ini tidak diabadikan, biarpun dalam bentuk tulisan yang sangat ‘straight forward’. Kalau tak ditulis pasti akan dilupakan. Insya-Allah, semoga ini boleh dimanfaatkan adik-adik yang ingin merancang untuk elektif posting mereka, Ustaz Asri dari pertubuhan bukan kerajaan yang telah memberi bimbingan penuh pada kami (Global Peace Mission, Malaysia), supervisor kami dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr. Samsul Draman dan Dr. Ramli Musa, teman-teman yang berpeluh, bersusah, bersabar dan ada yang terpaksa mengambil ‘jatah libur’ untuk menemani kami selama kami di Indonesia; Tia, Ali, Dr. Rosa, Kak Nila dan Akh Faisal di Aceh, Dr. Mela, Abang Fauzan, Rani, Paman Rani, Pak Etek, Ustaz Wusqo, Sari dan Tari di Padang dan Bukit Tinggi, Ummi, Pak In dan Bu Aisyah di Danau Maninjau. Sungguh tiada yang dapat membalas jasa baik antum selain Allah taala, justeru hanya iringan doa dan travelog inilah yang mampu kami dedikasikan buat antum semua. Moga bisa dinikmati ya!=)
Setahun yang lepas, di akhir tahun tiga, kami mulai merancang untuk perjalanan ini. Pada awalnya, rancangan kami hanyalah untuk tinggal menyelesaikan elektif posting kami selama sebulan di Aceh. Tetapi, Solehah dengan otak ‘adventure’nya hasil dari menonton banyak kartun mengusulkan untuk kami merentas kepulauan Sumatera menggunakan jalan darat. Dari Aceh turun ke Medan yang terletak di Sumatera Utara dan akhirnya ke Padang yang terletak di sebelah barat kepulauan Sumatera. Jaraknya adalah sekitar 913 kilometer, tetapi jalannnya bukan seperti highway Kuala-Lumpur-Kuantan. Jalannnya adalah jalan kampung dengan belok yang tajam, jalan yang sempit dan rosak kerana gempa yang sering melanda bumi Sumatera dan ini juga masih tidak mengambil kira bagaimana pemandu mengendali basnya. Kami pada awalnya mengambil pendirian ‘skeptic’. Masakan tidak, kami berlapan semuanya perempuan, hanya seorang yang sempat menikah 7 lagi masih belum, harus mengangkut bagasi yang beratnya separuh berat badan dan untuk mengembara sebegitu di tempat baru pastilah tidak tanpa risiko.
Tetapi, ketika kami merancang dan kerisauan semakin bertumpuk dalam kapasiti akal yang terbatas, sungguh perancangan Allahlah yang paling hebat. Saatnya kami syura di pejabat GPM di Gombak bersama Ustaz Asri, kami tidaklah meletakkan harapan yang tinggi bahawa rancangan ini boleh jadi kenyataan. Tetapi, pada ketika kami mengusulkan rancangan kami, Ustaz Asri menyambut sekilas dengan, “Insya Allah, bisa diatur, tiada masalah biarpun kalian ini perempuan semuanya,” Dalam pertemuan singkat selama 2 jam dengan Ustaz, dia terus mengatur peta perjalanan kami, jadual bas, tempat penginapan dan contact person ketika di sana nanti. Dikeluarkan peta kepulauan Sumatera yang besar dan ditunjukkan ‘route’ perjalanan kami. Terus dihubungi setiap contact person yang diusulkan, dan dialognya lebih kurang, “Afwan akhi, ana tahu lambat lagi, tapi cuma ingin dimaklumkan, bisa nggak kalau kami menghantar anak2 ini ke tempat anta pada tarikh ini dan ini?”. Dan jawapannya adalah “bisa bisa, Insya-Allah,” Sungguh, kami tidak pernah mengenal Ustaz Asri sebelum ini dan kami tidak pernah beraktiviti dengan GPM tapi dia tanpa reserve menggunakan secara maksimum pengalamannya tinggal di Bumi sumatera selama beberapa tahun untuk membantu kami. Allah Maha Besar yang menghantar ke dalam hati-hati yang seaqidah itu, kemanisan ukhuwwah yang sukar digambarkan tapi cukuplah hati yang merasai. Dan Ukhuwwah inilah yang menghantarkan kami ke bumi Indonesia, menemani dan mempermudahkan kami ketika di sana.. ukhuwwah yang tumbuh atas akar Ilahi, ia memberi tanpa pernah minta dibalasi, sesuatu yang kekal dan pastilah tidak roboh selagi tunjangnya hanyalah Ilahi.
Setelah itu, kami teruskan merancang untuk tajuk kajian kami di sana sebagai prasyarat untuk lulus elektif posting dan melayakkan kami ke tahun lima. Pada mulanya kami ingin mengkaji tentang ‘Post Traumatic Stress Disorder’, a comparison between Aceh and Padang, tetapi setelah Nadzirah berbincang dengan Dr. Ramli Musa, seorang pakar sakit jiwa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dia mencadangkan untuk kami melakukan kajian tentang DASS (Depression, Anxiety and Stress Score) kerana kuesionernya sudah sedia dalam bahasa Indonesia. Jadi, kami menukar tajuk kajian kami kepada ‘ DASS- A comparison between Acheh and Padang’. Setahun kemudian, dengan izin Allah, segala yang bermula dengan mimpi, kemudian perancangan, menjadi kenyataan...
No comments:
Post a Comment