Thursday, June 24, 2010

Day 3

Baru 3 hari di sini, dirasakan seperti setahun. Sungguh bumi ini menjanjikan pelajaran hidup buat yang ingin belajar, menemukan sesuatu buat yang mencari, membakar obor semangat buat yang baru kehilangan. Di sini mereka sudah banyak kehilangan, bermula ahli keluarga terdekat seperti ayah, ibu dan anak-anak, harta benda seperti tempat tinggal juga sumber pencarian. Tsunami 2004 itu jika kita di bumi Malaysia yang terkena, pasti sudah sukar untuk kita bangkit. Tetapi tidak begitu di bumi ini. Bumi ini sudah lama merasakan kehilangan dari Konflik GAM yang sudah berkurun lama dan telah pun mengorbankan berpuluh ribu nyawa. Tsunami ini hanya sambungan episod cerita derita (baca: cerita juang) yang telahpun berlangsung sekian lama.

Bersama Ustaz Ghufran dan Ustazah Rawiyah di hadapan Kompleks Al-Fityan

Pagi ini dimulai dengan kunjungan ke Kompleks Pendidikan Al-Fityan yang mula beroperasi 3 tahun lepas. Kompleks ini merangkumi panti asuhan, sekolah dasar, SMP dan SMA buat 640 anak-anak yatim dan 400 siswa kurang mampu. Ia dibiayai institusi-institusi dari luar negara dan hanya menerima sedikit dana operasi dari pemerintah. Dana ini diberikan oleh pemerintah untuk semua sekolah-sekolah di Indonesia. Kami disambut Ustaz Ghufran selaku pengarah sekolah ini. Ini adalah sebuah penghormatan buat kami biarpun kedatangan kami hanya diberitahu semalam oleh Dr. Rosa, orang no 1 sekolah tidak berkompromi melayani tetamu mengejut. Ustaz Ghufron bukan calang-calang orangnya. Di usia masih 30-an sudah sanggup menjadi pengarah buat sekolah yang besar ini. Dia adalah diantara mereka-mereka yang meneliti, memperhalusi rancangan membina Kompleks pendidikan ini bermula dari perbincangan pembelian tapak, merekrut kakitangan-kakitangan dan sampai ke saat ini di mana kompleks ini berkembang dan mampu menerima lebih 1000 orang pelajar.
Ta'limat oleh Ustaz Ghufron

Untuk menghasilkan kehebatan tentulah gerak kerjanya tidak boleh asal-asalan. Pengurusan kewangan di sekolah anak2 yatim ini adalah satu-satunya yang mendapat pengiktirafan ISO di sekitar NAD, lantaran kerja keras pihak pengurusan sekolah untuk memastikan sistem yang digunakan ini telus dan tiada duit-duit sumbangan ini disia-siakan atau diragui ke mana perginya. Bukanlah sekali dua Ustaz Ghufron diugut dengan senjata oleh orang untuk diterima anaknya ke sekolah ini, tetapi ustaz sentiasa punya jawapan yang mampu mematahkan ugutan itu.

Anak-anak SD yang imut=)

Anak-anak di Al-Fityan dididik bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan akademik tetapi penekanan diberikan kepada pembentukan peribadi melalui modul tarbawi yang disusun rapi. Anak-anak ini juga ini diajar untuk punya kreativiti dan kemahiran untuk mampu berdikari setelah melangkah keluar dari institusi. Mungkin anak-anak ini bukanlah no 1 dalam akademik jika di hantar ke institusi pengajian yang lain, tetapi jika mereka masuk pertandingan mencipta replika dari bahan-bahan terpakai, merekalah yang juara.

Dik, jangan atas sangat angkat sepanduk tu, nanti mukanya tertutup

Mereka setiap satunya jika ditanya pasti punya cerita duka paling dalam yang boleh dikongsikan. Ramai di antara anak-anak ini yang terputus kasih ibu, ayah, kakak dan abang buat selama-lamanya ketika Tsunami 2004 yang lepas. Lebih mengharukan lagi, 8 orang dari anak-anak ini pernah menyaksikan bapa ditembak di hadapan mata ketika konflik Aceh. Anak-anak ini jika dibandingkan dengan anak-anak yang kehilangan ketika tsunami, trauma mereka lebih dalam lagi.

Mengedar kuesioner dari kelas ke kelas

Anak-anak korban tsunami itu pada 3 ke empat bulan yang pertama pasca tsunami bila dibawa kelaut seringkali terlihat hantu dan rumah usang. Pada bulan seterusnya mereka mula membayangkan rumah dan masjid, bermakna trauma mereka sudah berkurang. Setelah setahun mereka sudah berani membenamkan diri ke dalam air. Tetapi anak-anak yang ayah dan ibunya menjadi korban konflik Aceh dihantui trauma kronik. Jika diselongkar almari mereka bukanlah gambar Irwan Shah, David Beckham atau Ferrari yang tertampal di dindingnya tetapi M16, revolver dan berbagai variasi senjata. Permainan anak-anak lelaki di sini bukan Final Fantasy atau Teng-teng tetapi permainan perlawanan askar Republik Indonesia dengan pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Sedikit yang mahu menjadi askar Indonesia, majoriti mahu menjadi pejuang GAM. Tetapi ajaib luar biasa kerana tidak tergambar kesedihan di raut wajah mereka.


Anak-anaknya begitu ceria dan semangat sekali menyambut kehadiran kami. Kuesioner-kuesioner dijawab dengan rela hati dan senang sekali. Pernah suatu kali anak-anak nakal ini bertanya pada Dr. Rosa. “Dr yang cantik manis, izinkan saya bertanya, mimpi basah itu apa ya? Inilah kasih sayang Allah menghadiahkan sikap lupa buat manusia. Sehingga anak-anak ini boleh meneruskan kehidupan tanpa menanggung beban kesedihan yang dulu pernah mereka rasai. Sehingga seorang suami yang kehilangan isteri yang sangat dicintai kerana ditenggelami air tsunami dan mayatnya tak pernah ditemui lagi boleh berkahwin dan memperolehi zuriat lagi 2 tahun selepas itu. Allah, di setiap kejadian-Mu, sering kali ada hikmahnya.

Di petang hari, kami menghadiri pertemuan dengan Dr. Rosa dan anak-anak didiknya di Klinik Al-Wafa’ di Jln. Soekarno Hatta. Hati-hati kami yang kering kerontang kembali subur disentuh dengan pengisian, ‘Baru semalam aku di neraka’ oleh Dr. Rosa. Kami mendengar pengisian sambil mengunyah pisang dan biskut jagung. Setiap di antara kami pasti punya versi sendiri tentang siapakah Dr. Rosa selama 2 minggu perkenalan ini. Izinkan aku menceritakan versiku...

1 comment:

  1. Rindu suasana Aceh...
    Thanks Iman for sharing our travelog

    ReplyDelete