Tuesday, June 22, 2010

Day 1

Keadaan di Low Cost Carrier Terminal (LCCT) pagi itu hiruk pikuk. Begitulah juga jantung kami. Kami bertujuh sudah tiba di LCCT, tiba-tiba kami menerima panggilan dari seorang lagi teman yang masih tak kunjung tiba. “Eh, flight malam kan?” Astaghfirullah, aku sempat beristighfar. Saat itu jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Sedangkan penerbangan kami dijadualkan jam 11.50 pagi. Kami harus check in 1 setengah jam sebelum penerbangan. Ahli keluarga kami juga sudah tidak duduk diam.

Alhamdulillah, tepat pukul 10.55 am teman kami sampai. Aku merasa sangat bahagia tatkala melihat wajahnya. Ya, mana mungkin sama perjalanan ini tanpa dia. Kami selamat check in dan masuk ke balai berlepas dengan aman. Sebenarnya kami sedikit takut ketika di security check kerana membawa sejumlah ubat-ubatan seperti Paracetamol, Magnesium Trisilicate dan Obimin untuk diedarkan bagi mereka yang memerlukan ketika di sana nanti. Tetapi, Alhamdulillah semua berjalan lancar.


Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh

Kami tiba di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh, Nanggroe Aceh Darussalam (NAD) pada jam 12.20 pm. Bandar Udara ini tidak terlepas dari penangan Tsunami, tapi dibangun semula dengan menggunakan bantuan dana antarabangsa. Disambut oleh K.Nila, ibunya, ibu mertuanya, Tia, Ali dan 2 lagi insan yang aku telah lupa namanya. Terasa kehangatan ketika berpeluk dengan orang2 yang bakal menjadi keluarga bukan hanya untuk 2 minggu di Aceh ini tapi buat selama-lamanya bermula pada saat ini. Kebiasaan orang Aceh ini berbeza dengan di Malaysia. Mereka berpelukan hanya menukar sisi pipi untuk dua kali, sedangkan di Malaysia tiga kali. Jadi kami pun menyesuaikan diri dengan budaya ini walaupun kadang-kadang tersilap. Tapi setelah 2 minggu di sini terasa asing pula bila menukar sisi pipi 3 kali.




K.Nila tersenyum manis

Dalam perjalanan ke rumah sewa di Lampenereut kami melihat motorsikal sangat banyak berbanding dengan kereta. Jalan rayanya hiruk pikuk dengan kenderaan yang hon untuk berkomunikasi dengan pemandu lain, contohnya untuk berterima kasih, memaklumkan kedekatan, meminta izin untuk memotong dan untuk membelok. Berbeza dengan Malaysia, hon digunakan untuk mengekspresikan rasa marah jika pemandu itu membuat kesilapan yang menyusahkan, penutup lubang minyak lupa ditutup ataupun untuk memberitahu pemandu bahawa bajunya sudah tersepit di luar pintu. Orang Malaysia sangat sensitif jika di hon, lebih-lebih lagi kalau yang baru lulus kelas memandu bisa gelabah dan dapat serangan panik. Tapi di Aceh ini adalah biasa, malah disenangi.


Jalan-jalan di depan rumah baru bersama Mina dan Fatih

Kami diamanahkan k. Nila sebuah rumah kembar dua di Gampung Lambaroh, Lampenereut, setingkat dan punya 2 bilik. 1 bilik dikhaskan untuk gudang dan lagi satu bilik untuk kami tidur. Ruang tamu di bahagian luar boleh juga digunakan untuk tidur. Dapur lengkap tersedia dengan peralatan-peralatan makan yang mencukupi. Inilah masanya untuk masing-masing menunjukkan kehandalan di dapur. Nazhiyah, Najwa dan K. Ashiah tersenyum lebar. Sementara Nadzirah, Iman, Solehah, Nabilah dan Ila menyorok di bawah tilam.


Rumah ini cukup selesa untuk kami berlapan. Untung saja kami semuanya perempuan, jadi 1 rumah sudah memadai. Ke mana-mana pun satu mobil sudah mencukupi. Apa yang pada awalnya difikir sebagai satu kesulitan menjadi satu keuntungan buat kami. Di hadapan rumah , tanaman padi terbentang luas tetapi padinya tidak menjadi. Warnanya kecoklatan dan kering, sehingga ada petak-petak sawah yang dijadikan padang bola oleh anak-anak kampung. Kata mamak di kampung, ini adalah kerana kesan air tsunami yang mengandungi sulfur dan tidak elok untuk tanaman.

Selepas makan tengahari di rumah, aku dan Najwa ke rumah Tok Kecil (Di Malaysia: Tok Penghulu) untuk memaklumkan kedatangan kami ke kampung. Tok Kecil ini seorang lelaki setengah umur yang tidak kecil dan baik orangnya. Tetapi ketika dia menghulurkan salam untuk berjabat tangan, aku di depan Najwa jadi secara refleks aku menyambut tangannya. Sedangkan Rasulullah tak pernah berjabat tangan dengan wanita. Aku merasa berdosa. Bukankah aku punya jilbab yang boleh kugunakan sebagai alas tadi? Tapi jilbabku ini tidak selabuh K. Ashiah jadi akan mengambil sedikit masa jika tanganku dialas dengan tudung ini. Ya Allah, aku harus pastikan selepas ini insiden ini tidak berulang lagi. Aku akan duduk di belakang kawan yang berjilbab lebih labuh selepas ini bila bertemu mana-mana lelaki di sini. Ataupun, aku tukar aja jilbabku ke yang lebih labuh.


Petangnya, kami bertandang ke pejabat Global Peace Mission Malaysia yang terletak di Darussalam. Tidak banyak yang kami lakukan di sini selain minum aqua gelas dan berborak dengan mak mertua k. Nila tentang konflik Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Aceh. Cerita selanjutnya tentang gerakan ini akan aku selitkan dalam pos yang seterusnya. Memang Aceh ini luar biasa. Bencana angkara manusia dan bencana yang dihantar Tuhan bertubi-tubi menimpa bumi penuh barakah ini, tetapi mereka tidak pernah mundur dan putus asa untuk meneruskan kehidupan. Saat salah satu soalan pelik dari banyak soalan pelik dari kuestioner kami dibacakan “Ada bapak rasa hidup ini sudah tidak berharga lagi sebagai seorang manusia?” Langsung dijawab seorang lelaki separuh umur yang kehilangan semua ahli keluarganya; isteri dan empat orang anak dihanyut tsunami “Berdosa nak, jika kita berfikiran begitu, mana bisa bapak sebagai seorang Muslim berfikiran seperti itu,”



Malam itu kami solat jama’ qasar di masjid Raya BaiturRahman. Kami tiba di waktu senja di masjid ini, melihat masjid ini berlatarbelakangkan langit senja yang memerah membuatkan aku terfikir adakah syurga seperti ini. Luarbiasa! Masjid yang mempunyai keluasan 3,330 hektar ini terletak di tengah-tengah banda Aceh dan boleh memuatkan sekitar 10,000 ke 13,000 jamaah. Arkitekturnya sangat indah, dinding-dindingnya berwarna putih dan 5 kubahnya berwarna hitam.
Ramai yang tahu bahawa masjid ini berdiri menghadapi badai tsunami yang garang sehingga ia tinggal satu, berdiri tegak di atas padang jarak padang tekukur. Menurut Tia, ketika tsunami, ribuan orang cuba menyelamatkan diri dengan memanjat dinding-dinding masjid, sampai ke kubah masjid penuh dengan manusia. Ada yang disingkap hijabnya dan ternampak satu sosok yang sangat besar sedang membentengi masjid dari terkena air tsunami. Sungguh Allah Maha Besar, ketika Allah ingin menunjukkan kekeuasaan-Nya, tiada apa atau siapa pun yang boleh menahan. Selepas Tsunami, mayat-mayat dikumpulkan di hadapan masjid ini untuk dikenal pasti oleh ahli keluarga.



Di hadapan masjid kami lihat ada 50 tiang-tiang yang berwarna-warni. Kalau dilihat sekilas pandang seperti tempat permainan kanak-kanak. Tapi, sebenarnya tiang-tiang itu adalah tiang-tiang yang menjadi pasak kedai-kedai dan rumah-rumah yang roboh dihentam tsunami yang tidak mengenal bulu.

1 comment: