Tuesday, November 9, 2010

TRAVELOG: Hari ke-6

Hari ke-6: Jumaat / 21 Mei 2010

Pagi ini kami sekali lagi ke RS BSMI. Kami berpeluang bertemu sekali lagi dengan pesakit dari Malaysia yang kami jumpa semalam. Kali ini pertemuan lebih panjang, disertai wawancara tentang penyakitnya. Kami tidak pasti apa diagnosis doktor RS BSMI, tapi berdasarkan sejarah penyakitnya, mungkin beliau mengalami gastroenteritis akut dan kekurangan hidrasi ekoran muntah-muntah dan cirit-birit. Sebahagian kami turut mewawancara seorang lagi pesakit yang mendapat demam denggi berdarah. Kawasan sekitar Banda Aceh ini rupanya endemik denggi.

Jam 10.30 pagi, Tia tiba di RS BSMI untuk menemani perjalanan kami yang mencabar hari itu. Kami buat pertama kalinya menaiki pengangkutan awam! Selama ini Ali tidak menggalakkan kami mengambil pengangkutan awam sendirian kerana bimbangkan keselamatan kami. Lagipun katanya pengangkutan di sini tidak seperti di Malaysia, takut kami kebingungan dan tak sampai ke destinasi. Tapi disebabkan pada hari Jumaat beliau harus ke masjid awal untuk mempersiapkan masjid, dan Tia pun bersedia menemani kami, jadi dapatlah kami merasa naik labi-labi yang selama ini hanya berpapasan di jalanan. Berdebar juga kami, seperti apalah pengangkutan di sini ya..

Tia menahan sebuah labi-labi untuk kami ke kota. Bukan kura-kura ya, labi-labi ialah seperti sebuah van. Penumpang duduk di tempat duduk panjang yang saling berhadapan. Pintunya di belakang, dan tidak ditutup. Terdapat seorang konduktor yang duduk di tempat penumpang. Sebuah labi-labi mampu memuatkan kira-kira 14 – 16 orang penumpang. Tambang ke kota ialah Rp3000 seorang. Sampai di kota, kami harus tukar pengangkutan untuk ke Universiti Syiah Kuala (Unsyiah).

Dari kota kami naik damri, iaitu bas milik pemerintah, ke Darussalam. Tiada label destinasi yang kami jumpa pada damri tersebut, dan konduktornya cuma memanggil penumpang dengan menjerit “Salam, Salam”. Kata Tia, kalau kami sendirian pasti kami tidak jumpa damri ke Darussalam! Tambang damri hanya Rp1000 seorang, murah kerana disubsidi pemerintah. Yang menariknya, konduktornya memakai uniform khas, dan beliau kelihatan sungguh bersemangat memastikan semua penumpang dapat duduk atau berdiri dengan selamat.

Perjalanan dengan damri agak perlahan kerana jalan sesak. Kami penumpang yang terakhir turun, iaitu di destinasi terakhirnya, Unsyiah. Kami berjalan kaki untuk ke Fakultas Kedokteran, dan sempat singgah di sebuah kedai membeli air dan makanan ringan. Maklumlah, tekak sudah kering dan ada perut yang sudah berbunyi. Tia bercerita, selepas Tsunami, jalan yang kami lewati itu jadi tempat pengumpulan mayat-mayat korban.

Sampai di musolla Fakultas Kedokteran, program pengajian pun dimulakan. Kak Ashiah mengambil tempat untuk memperdengarkan hafalannya. Alhamdulillah, lancar sekali hafalan beliau. Namun kami dapat memahami debarannya memperdengarkan keindahan Surah Al-Rahman di hadapan kira-kira 30 orang peserta pengajian. Pengajian diteruskan dengan ceramah Dr Rosa bertajuk Ad-Dawaa’ wa ad-Da’wah (Penyakit dan Da’wah). Dr merupakan penceramah yang versatil. Cara penyampaiannya bersesuaian dengan kumpulan sasaran.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan peranan doktor muslim sebagai penda’wah. Beliau juga meyampaikan resipi gaya hidup sihat mengikut ajaran Islam. Sungguh menarik dan belum pernah kami dengari sebelum ini. Antaranya ialah meninggalkan yang dilarang (haram), kerana yang haram itu terbukti mempunyai banyak mudarat. Contoh terbaik ialah arak. Pemakanan juga selain halal, harus tayyiban. Contohnya garam, ia halal namun jika terlalu banyak tidak tayyib. Olahraga yang tidak boleh ditinggalkan oleh Muslim ialah solat. Solat, selain menuruti perintah Allah, telah dibuktikan oleh sains mempunyai kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan dan mental.

Selesai pengajian dan solat Zuhur-Asar, kami sempat mendapatkan beberapa responden untuk penelitian. Sambil menunggu Ali menjemput, kami dihiburkan oleh Haybah dan Wafa, dua puteri kesayangan Dr Rosa yang bijak dan lucu. Haybah sungguh keletah, mulutnya tidak henti berceloteh. Wafa pula seorang pemerhati, dalam diam dia sudah menghafal nama setiap dari kami.

Allah Maha Menguji. Kami kemudian dikejutkan dengan berita dari Tia. Katanya brek mobil kami blong (rosak), jadi Ali tidak dapat menjemput kami dari Unsyiah. Sempat juga kami panik, kerana jam 3 kami sudah berjanji dengan Kak Ida dari Lampuuk untuk mewawancara orang kampungnya. Mujurlah Tia yang matang itu tetap tenang. Atas cadangan beliau, kami memutuskan untuk naik labi-labi saja ke Lampuuk. Tapi disebabkan kesuntukan masa, makan siang terpaksa dilupakan. Kami makan biskut saja dalam labi-labi buat alas perut. Bunyi kunyahan biskut mengaburi keroncong perut kami dalam kesunyian perjalanan itu..

Kami selamat sampai di Lampuuk walaupun lewat hampir sejam. Kami seharusnya ke pengajian ibu-ibu, namun pengajian sudah selesai, jadi kami ke sebuah meunasah (musolla). Alhamdulillah, dapat juga kami mewawancara ibu-ibu di situ. Selepas itu, kami mengunjungi warung kopi mewawancara golongan bapa dan penghuni beberapa buah rumah.

Kawasan tersebut terletak di tepi pantai. Sewaktu Tsunami, ramai penduduk kampung yang terkorban dan semua rumah di situ hancur. Ada yang masih trauma dengan kejadian tersebut, dan ramai penduduk yang terselamat berpindah keluar. Ketika ditanya mengapa mereka masih tinggal di situ, ramai yang mengatakan, “Kami hendak ke mana lagi, di sinilah tempat kami”. Alhamdulillah, kampung tersebut kini sudah dibangunkan. Terdapat banyak rumah bantuan daripada Turki. Di situ juga terdapat Masjid Baiturrahim, antara masjid yang tidak dirosakkan Tsunami.

Alhamdulillah, sewaktu kami di situ, mobil kami sudah siap dibaiki dan dapatlah kami pulang dengan mobil. Maghrib itu, kami tiba di rumah kelaparan dan keletihan. Mujurlah makan malam itu sudah dibeli. Namun hasrat mahu berehat terpaksa ditangguhkan, kerana masih perlu bersedia untuk penyuluhan kesihatan esok. Apapun, insyaAllah kami akan terus bersemangat!

TRAVELOG: Hari ke-4

Hari ke-4: Rabu / 19 Mei 2010




Kami seharusnya tiba di Klinik Al-Wafa jam 9 pagi. Tapi seperti semalam, jalan raya macet menyebabkan kami terlewat. Hari ini kami akan ke Lampisang, di kabupaten Peukan Bada, sebuah daerah Tsunami. Dr Rosa ikut bersama menaiki mobil kami. Beliau juga membawa anak kelapa sebagai buah tangan untuk ke sana. Agak lucu mengenangkan kami 4 + 1 di ruang tengah mobil, kami berempat ditambah anak kelapa dan daun-daunnya!















Kami ke rumah Kak Manya, kenalan Dr Rosa yang bersama-sama Dr menyelamatkan diri sewaktu Tsunami dulu. Tujuannya ialah untuk mengaturkan penelitian kami di kampung tersebut. Beliau juga menceritakan pengalaman Tsunaminya. Katanya, “Tembok tinggi itu Kak Manya sanggup panjat sambil gendong Wafa (puteri sulung Dr Rosa, ketika itu berumur sekitar 3 tahun) untuk selamatkan nyawa. Kalau sekarang pasti tak bisa lagi.” Beliau juga menunjukkan dinding rumahnya yang bercat kuning. Terdapat bahagian yang kelihatan tak bercat, menandakan kesan air Tsunami yang mengandungi sulfur, sehingga cat tidak boleh lekat.







Sesudah itu, kami ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Lampisang, tempat Dr Rosa pernah berkhidmat. Di sebelahnya terlihat sebuat bangunan yang sudah usang dan rosak, rupa-rupanya itulah bangunan Puskesmas lama yang terkena Tsunami. Bangunan yang baru itu mendapat sumbangan Turki dan Islamic Relief. Puskesmas tersebut mempunyai seorang doktor. Kemudahannya lebih kurang seperti Klinik Kesihatan di Malaysia. Ia juga mempunyai bilik bersalin, unit rawat inap dan unit kesihatan jiwa. Di situ juga Dr Rosa mengaturkan penelitian kami di Lampuuk, lagi daerah Tsunami, melalui seorang perawat yang tinggal di situ.









Selesai mengaturkan penelitian, kami sempat singgah di Rumah Cut Nyak Dien. Beliau ialah seorang mujahidah Aceh yang sangat terkenal dengan semangat juang dan keberanian menentang penjajahan Belanda. Sayangnya, rumah yang kami lawati tersebut bukanlah yang asli, kerana rumah sebenar telah hangus dibakar oleh Belanda, kecuali sebuah telaga. Gambar Cut Nyak Dien yang ada juga merupakan lukisan oleh Belanda dan tidak menepati ciri Cut Nyak Dien yang berjilbab dan menutup aurat.



Sebelum pulang, kami sempat mewawancara penjaga rumah tersebut untuk penelitian kami. Beliau juga mangsa Tsunami, dan mempunyai seorang adik perempuan yang sedang dalam proses melahirkan sewaktu kejadian itu. Sayang sekali, adiknya dan bayi yang sudah keluar kepalanya itu tidak dapat diselamatkan.


Kami kemudiannya ke Pondok Yatim PKPU-IHH di Cot Suruy, kecamatan Blang Bintang. Di pertemuan singkat itu, kami bersilaturrahmi dengan Ummi Nora dan beberapa karyawan lain, dan mengaturkan sesi untuk penelitian kami di situ pada hari yang sama.




Selesai semuanya, perut kami minta diisi. Kami makan siang di restoran cadangan Dr Rosa, Restoran Ayam Lepas. Adakah ayamnya terlepas dan kami perlu tangkap untuk makan? Oh, tentulah itu melampau. Kami tidak tahu apa yang terlepasnya, tapi ia dijamin Dr Rosa sebagai enak dan bersih, pokoknya halalan toyyiban! Rupanya ayam lepas itu pedas. Alternatifnya ialah ayam lemas yang kurang pedas. Lucu menunya, tapi pakej nasi, ulam, ayam dan sambal itu ternyata enak. Ali yang tidak sabar untuk pergi solat meninggalkan ayamnya tidak habis dimakan, maka kami semua meratapi pembaziran ayam yang enak itu.




Dalam perbualan dengan Dr Rosa, beliau ada mencadangkan tempat-tempat yang kami boleh kunjungi. Antaranya ialah Taman Putroe Pahang. Walaupun di Pahang terdapat Kampung Aceh, ini pertama kali kami mendapat tahu tentang hubungan Aceh dengan Pahang. Mengikut sejarah, terdapat seorang Puteri Raja Pahang yang berkahwin dengan Sultan Aceh. Puteri tersebut terkenal dengan kebijaksanaannya dalam aturan negeri, sehingga tercipta kata-kata yang masyhur:



“Adat bak Po Temereuhom,
Hukum bak Syiah Kuala,
Qanun bak Putroe Pahang,
Reusam bak Laksamana”

Kami berpisah dengan Dr Rosa selepas itu. Destinasi seterusnya ialah Museum Aceh. Kami dibawa Ali ke sana, dan rakan kami, Tia, yang datang dengan ‘kereta’nya sudah menunggu. Rupa-rupanya Museum Aceh belum dibuka. Masih terlalu awal jika kami mahu menunggu, lalu perjalanan dilanjutkan ke Kapal Apung.

Kapal tersebut ialah kapal Pembangkit Listrik Tenaga Disel (PLTD) dan sewaktu Tsunami ia berada di pelabuhan Ulheelhee. Gelombang Tsunami yang kencang mengheretnya ke daratan sampai sejauh lebih 4km dari pelabuhan. Ia kini ditinggalkan di tempatnya sebagai tarikan pelancong. Di bawah kapal seberat 2600 ton tersebut terdapat dua buah rumah yang ditindihnya. Kawasan tersebut dahulunya rata dek Tsunami, tapi kawasan sekitar kapal tersebut sudah dibangunkan kembali. Dari atas kapal dapat dilihat betapa jauhnya laut, menggambarkan betapa jauhnya kapal sebesar itu dihanyutkan ombak Tsunami.



Berhampiran kapal tersebut terdapat Galeri Tsunami. Ia memaparkan gambar-gambar sewaktu tsunami yang sungguh menyayat hati. Terdapat juga fakta-fakta dan statistic berkaitan Tsunami sebagai pendidikan kepada pengunjung. Hati kami diranduk kesayuan melihat gambar mayat-mayat bergelimpangan, kawasan perumahan yang rata dan ibu meratapi kematian anaknya. Sungguh, di saat Allah mahukan kehancuran, maka hancurlah sesuatu. Sungguh Allah Maha Berkuasa atas setiap makhluknya. Sungguh, nyawa kami dalam tangan-Nya.




Oh ya, seperti biasa, ke mana-mana kami pergi pasti saja ada yang memanggil, ‘Atuuuk, ooo atuk’ dan ‘Kak Roos, sarapan takde ke?’. Produksi Upin & Ipin pasti tersenyum lebar mengenangkan populariti animasi itu di sini.




Kami kemudiannya ke Museum Tsunami. Museum yang sungguh artistik itu dibina berdasarkan konsep Rumoh Aceh, rumah tradisional masyarakat Aceh yang merupakan rumah panggung. Dengan lantai bawah yang terbuka, bangunan museum tersebut boleh dijadikan ‘escape building’. Simbol gelombang Tsunami dapat dilihat dari atas bangunan. Dekorasi bahagian luar bangunan mengambil inspirasi Tarian saman, iaitu tarian tradisi Aceh, untuk mencerminkan konsep ‘Hablumminannas’.





Di dalamnya terdapat satu cerobong yang kosong dan gelap, sangat gelap. Tiada sumber cahaya melainkan dari puncak cerobong itu. Memandang ke puncak, kalimah Allah terpapar. Sungguh menginsafkan. Ia bagai mengingatkan, ketika kita sudah terputus segalanya, tidak punya apa-apa lagi untuk diharapkan, Allah tetap ada. Itulah yang dirasakan oleh mangsa-mangsa Tsunami yang saat itu merasakan sudah tiada lagi harapan.



Lantai dua museum tersebut ialah kawasan pameran. Terdapat gambar-gambar sebelum, sewaktu dan selepas Tsunami, informasi tentang Aceh, lukisan-lukisan yang berkaitan, dan video Tsunami. Digantung juga bendera negara-negara yang memberikan bantuan kepada Aceh, Malaysia salah-satunya. Kami sempat melihat reaksi Ali, juga merupakan mangsa tsunami, terhadap video yang bagi kami sungguh mengharukan. Ternyata air mukanya begitu bersahaja.


Petang itu kami kembali ke Pondok Yatim PKPU-IHH. Selepas Asar, anak-anak yang terlibat dengan Tsunami dikumpulkan di dewan. Sesi petang itu dikendalikan dengan baik oleh Naz, berbekalkan pengalaman menjadi fasilitator pelajar sekolah selama beberapa tahun. Kami sempat bersilaturrahmi dengan anak-anak yang berumur sekitar 12 ke 17 tahun tersebut. Mereka sungguh mudah mesra, seperti juga anak-anak di Al-Fityan School.



Selepas Maghrib, sesi disambung dengan beberapa lagi anak-anak yang belum pulang pada petangnya. Di sini kami bertemu Brother Mesut dari IHH Turki. Beliau merupakan graduan UIAM juga, lalu panjanglah perbualan kami dengannya. Perbualan dalam Bahasa Inggeris itu berkisarkan keinginannya melihat anak-anak di situ mendapat pendidikan tinggi, yang begitu mahal di Indonesia. Beliau meminta kami me’lobi’ pihak atasan UIAM untuk beberapa anak-anak yang cemerlang, namun kami tidak mampu menjanjikan apa-apa kerana ia di luar bidang kami.


Apapun, kami setuju dengan katanya, iaitu anak-anak di situ memerlukan motivasi. Beliau juga mengatakan yang kedatangan kami sebagai pelajar universiti yang fasih berbahasa Inggeris merupakan motivasi yang besar kepada mereka. Beliau mencadangkan kami datang lagi untuk memberikan pendidikan kesihatan kepada anak-anak di sana. Kami begitu teruja dengan cadangan itu, namun masih perlu disyurakan agar jadual kami tersusun.





Perbualan kami dengan Brother Mesut membuka mata kami. Kecaknaannya terhadap isu-isu semasa dunia, termasuklah keadaan politik Malaysia membuatkan kami kagum. Beliau juga menasihatkan kami menjadi aktivis yang peduli dan memperjuangkan nasib ummat, bukan sekadar menjadi doktor biasa seperti kebanyakan doktor. Subhanallah, banyak sekali nasihat sebegini yang kami terima sepanjang beberapa hari di sini. InsyaAllah, kami memohon bimbingan dan bantuan Allah supaya dipermudahkan dan ditetapkan hati kami, agar kami bisa menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.




Dalam perjalanan pulang malam itu, sempat kami bertanya kepada Ali tentang kunjungan ke Museum Tsunami yang mungkin mengimbau perasaan sedih dan trauma. Katanya tenang dan bersahaja, “Sedih juga, tapi itu kan takdir yang sudah lepas. Lagipun apa perlu takut. Mati itu kan bisa bila-bila masa. Jika tidak kerna konflik (merujuk kepada konflik GAM), mungkin bisa kerna Tsunami. Jika kena tsunami masih belum mati, di tempat tidur juga kan bisa mati. Itu kan sudah ditulis Ilahi, kitalah yang harus mempersiapkan.”




Hari ini ternyata sarat dengan perjalanan, pengajaran, dan peringatan.

TRAVELOG: Hari ke-2

Hari ke-2: Isnin / 17 Mei 2010

Hari ini adalah hari yang panjang. Kami memulakan hari seawal jam 5 pagi dengan solat Subuh berjemaah. Acara di Rumah Sakit BSMI dijadualkan bermula jam 10 pagi. Kesempatan pagi itu digunakan untuk membeli barang makanan di kedai berhampiran. Pekedainya sangat ramah, hampir kesemua barangan yang ada di kedainya mahu dipromosikan pada kami. Antaranya, “Ini ikan kayu, enak kali!”, dan “Ambillah ini asam sunti, guna dalam masakan, enak!”. Namun kami yang tidak pernah mendengar nama ikan kayu mahupun asam sunti hanya membeli barangan yang sudah disenaraikan, kalau kami beli pun belum tentu kami tahu memasaknya!

Supir kami, Cik Ali sampai awal hari itu, kelam kabut kami dibuatnya, namun kami tetap bertolak mengikut jadual, dan tiba di RS BSMI beberapa minit sebelum jam 10. Rumah sakit tersebut terletak di Jalan Lamlagang, Banda Aceh, kira-kira 15 minit perjalanan dengan mobil dari rumah kami. Kami diberitahu, jika ingin menaiki pengangkutan awam, harus naik beca dari rumah ke jalan utama, dan ambil labi-labi sampai ke rumah sakit. RS BSMI merupakan rumah sakit swasta milik Bulan Sabit Merah Indonesia cabang Aceh. Selama ini kami melihat gambarnya di laman web BSMI dan Facebook sahaja, tapi hari ini ia di depan mata kami.

Kami disambut oleh Nadya, seorang bidan yang baru berumur 20 tahun. Namun kematangannya membuatkan kami seakan tidak percaya dengan umurnya. Kami langsung diberi taklimat awal oleh Dr Suprinardi dan Encik Razi. Selain diterangkan tentang kegiatan rumah sakit, kami juga membincangkan tentang mini-research kami. Satu kerisauan mendatangi kami apabila diberitahu bahawa RS BSMI tidak mempunyai banyak pesakit, dan pesakit yang datang pun kebanyakannya bukan dari daerah yang dilanda Tsunami, sedangkan kami perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 100 responden dari Aceh.

Selepas taklimat tentang rumah sakit, mereka melanjutkan perbincangan dengan menjawab soalan kami tentang sejarah perjuangan Islam di Aceh. Mereka memang mengagumkan! Melihat mereka menceritakan sejarah Naggroe kelahiran mereka, kami tahu bahawa mereka tidak belajar sejarah hanya untuk lulus peperiksaan, seperti kebanyakan kami. Kami malu sendiri, kerana jika ditanya tentang sejarah Malaysia, kebanyakan skrip jawapan peperiksaan sejarah dulu sudah hilang dari memori. Mungkin ada yang menganggap Malaya pernah dijajah Belanda!

Kami kemudiannya dibawa ke seluruh rumah sakit. Kemudahan yang ada termasuk Unit Rawat Inap (Ranap) yang mempunyai bilik kelas satu, dua dan tiga, Unit Gawat Darurat (UGD), bilik bersalin, bilik operasi, dan apotek. Menariknya, rumah sakit tersebut juga mempunyai unit khas untuk ‘homevisit’ kepada semua pesakit yang telah dibenarkan pulang. Kami diperkenalkan kepada para perawat dan karyawan, dan kemudian lawatan tersebut disertai oleh Pimpinan RS BSMI, Pak Heri Riswandi. Satu berita baik yang kami dapat ialah Dr Rosaria Indah, supervisor kami yang akhir-akhir ini tidak dapat dihubungi rupanya kehilangan telefon bimbitnya. Kami telah mendapatkan nombor telefonnya yang baru melalui Pak Heri.





Selepas Zuhur kami menunggu Dr Rosaria Indah di ruang menunggu RS BSMI. Berdebar juga dalam hati, kerana selama ini kami hanya berhubungan melalui email dan sms, tidak pernah berkenalan terus dengan orangnya. Nyata beliau seorang yang ramah, pandai berlelucon, sangat ‘friendly’, dan kelihatan berjiwa kental. Dr Rosa memberikan solusi kepada masalah responden mini-research kami: turun langsung ke masyarakat di daerah gempa. Alhamdulillah, terus dirancangkan perjalanan kami buat beberapa hari. Sambil membincangkan tentang mini-research, beliau dan Pak Heri sempat juga bertanya asas tarbiyyah kami. Sempat juga Pak Heri berkata, “Di sini bumi jihad, di sana bumi bersenang-lenang”. Dan seorang Hafizah di kalangan kami, Kak Ashiah, serta merta mendapat tugasan untuk tasmi’ surah al-Rahman dan al-Waqi’ah pada hari Jumaat nanti!



Makan siang kami lewat, lebih kurang jam 2.30. Kami memilih sebuah warung bersebelahan rumah sakit, namanya Warung Shidqi. Menu pilihan kami? Indomie telur, hanya 7 ribu sepinggan. Ada juga yang memilih Mi Aceh dan Nasi Goreng Bombay. Enak!



Selepas makan, kami menuntun Dr Rosa dengan ‘Honda’nya ke Kompleks PKS untuk memberikan kunjungan takziah atas pulangnya seorang ustaz ke Rahmatullah. Beliau meninggal pada usia yang masih muda, 39 tahun, kerana stroke. Sempat juga kami bersilaturrahim dengan akhawat yang turut berada di situ.


Selesai takziah, kami berjalan kaki ke rumah-rumah di kompleks perumahan tersebut. Tujuannya? Tentulah untuk penelitian kami. Kami sempat bersilaturrahim ke beberapa buah rumah dan mendapat beberapa responden petang itu. Yang nyata, pengalaman Tsunami mereka seolah-olah masih segar dalam ingatan, walaupun mereka sudah tidak trauma. Dr Rosa mencadangkan kami menyusun responden mengikut tempat tinggal mereka, kerana mungkin terdapat perbezaan psikologi antara yang masih menetap di daerah Tsunami dan yang sudah berpindah. Petang itu juga kami mendapat tahu yang Dr Rosa sedang hamil 7 bulan sewaktu bermatian menyelamatkan diri dari dikejar air Tsunami!

Sesudah itu, kami singgah di Al-Fityan School, sebuah sekolah berasrama untuk anak-anak yatim. Dr Rosa punya urusan dengan seorang ustazah di situ, tapi sambil menyelam kami minum air. Ramai anak-anak yatim di situ yang terlibat dengan Tsunami, jadi Dr Rosa juga mengaturkan supaya kami dapat mengedarkan kuesioner kepada anak-anak Al-Fityan.

Kemudian kami ke rumah ustazah yang ingin dikunjungi Dr Rosa. Terrungkailah misteri pertanyaan Dr Rosa sebelum itu, “Kalian ada yang pandai berbahasa Arab?”. Rupanya Ustazah Rawiyah berasal dari Mesir, maka kebanyakan perbualan kami petang itu berlangsung dalam Bahasa Arab. Tergagap-gagap kami dibuatnya, di fikiran cuma terfikir ‘Kaifa haluki, Alhmadulillah bikhair’. Mujurlah Dr Rosa agak baik Bahasa Arabnya, dan di antara kami pun ada yang mampu berbahasa Arab serba sedikit. Dalam kekalutan bahasa, pesanan ustazah yang kami pasti tidak lupa ialah tentang ramainya doktor Muslim, tapi sedikitnya doktor Muslim yang memahami Islam dan mengamalkannya.


Kami masih di jalanan sewaktu azan Maghrib berkumandang. Ali (sudah tiada Cik, kerana umurnya sebaya saja dengan kami) membawa kami ke sebuah masjid untuk solat. Turun dari kereta, kami lihat dia seperti mencari-cari sesuatu dan bertanya-tanya kepada orang di situ. Sedang kami mencari tempat wudhu’ wanita, Ali kembali dan menunjukkan kami tempat wudhu wanita. Sungguh tak disangka, mencarikan tempat wudhu’ pun termasuk dalam servisnya!

Kami pulang ke rumah seusai solat Maghrib dan jama’ Isya’. Keletihan selepas satu hari yang panjang, tapi masih perlu syura untuk aktiviti esok, dan menyiapkan bahan pengajian tentang hipertensi. Ya Allah, berkatilah apa yang kami lakukan ini, dan berilah kami kekuatan untuk terus melakukan kebaikan..