Tuesday, November 9, 2010

TRAVELOG: Hari ke-4

Hari ke-4: Rabu / 19 Mei 2010




Kami seharusnya tiba di Klinik Al-Wafa jam 9 pagi. Tapi seperti semalam, jalan raya macet menyebabkan kami terlewat. Hari ini kami akan ke Lampisang, di kabupaten Peukan Bada, sebuah daerah Tsunami. Dr Rosa ikut bersama menaiki mobil kami. Beliau juga membawa anak kelapa sebagai buah tangan untuk ke sana. Agak lucu mengenangkan kami 4 + 1 di ruang tengah mobil, kami berempat ditambah anak kelapa dan daun-daunnya!















Kami ke rumah Kak Manya, kenalan Dr Rosa yang bersama-sama Dr menyelamatkan diri sewaktu Tsunami dulu. Tujuannya ialah untuk mengaturkan penelitian kami di kampung tersebut. Beliau juga menceritakan pengalaman Tsunaminya. Katanya, “Tembok tinggi itu Kak Manya sanggup panjat sambil gendong Wafa (puteri sulung Dr Rosa, ketika itu berumur sekitar 3 tahun) untuk selamatkan nyawa. Kalau sekarang pasti tak bisa lagi.” Beliau juga menunjukkan dinding rumahnya yang bercat kuning. Terdapat bahagian yang kelihatan tak bercat, menandakan kesan air Tsunami yang mengandungi sulfur, sehingga cat tidak boleh lekat.







Sesudah itu, kami ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Lampisang, tempat Dr Rosa pernah berkhidmat. Di sebelahnya terlihat sebuat bangunan yang sudah usang dan rosak, rupa-rupanya itulah bangunan Puskesmas lama yang terkena Tsunami. Bangunan yang baru itu mendapat sumbangan Turki dan Islamic Relief. Puskesmas tersebut mempunyai seorang doktor. Kemudahannya lebih kurang seperti Klinik Kesihatan di Malaysia. Ia juga mempunyai bilik bersalin, unit rawat inap dan unit kesihatan jiwa. Di situ juga Dr Rosa mengaturkan penelitian kami di Lampuuk, lagi daerah Tsunami, melalui seorang perawat yang tinggal di situ.









Selesai mengaturkan penelitian, kami sempat singgah di Rumah Cut Nyak Dien. Beliau ialah seorang mujahidah Aceh yang sangat terkenal dengan semangat juang dan keberanian menentang penjajahan Belanda. Sayangnya, rumah yang kami lawati tersebut bukanlah yang asli, kerana rumah sebenar telah hangus dibakar oleh Belanda, kecuali sebuah telaga. Gambar Cut Nyak Dien yang ada juga merupakan lukisan oleh Belanda dan tidak menepati ciri Cut Nyak Dien yang berjilbab dan menutup aurat.



Sebelum pulang, kami sempat mewawancara penjaga rumah tersebut untuk penelitian kami. Beliau juga mangsa Tsunami, dan mempunyai seorang adik perempuan yang sedang dalam proses melahirkan sewaktu kejadian itu. Sayang sekali, adiknya dan bayi yang sudah keluar kepalanya itu tidak dapat diselamatkan.


Kami kemudiannya ke Pondok Yatim PKPU-IHH di Cot Suruy, kecamatan Blang Bintang. Di pertemuan singkat itu, kami bersilaturrahmi dengan Ummi Nora dan beberapa karyawan lain, dan mengaturkan sesi untuk penelitian kami di situ pada hari yang sama.




Selesai semuanya, perut kami minta diisi. Kami makan siang di restoran cadangan Dr Rosa, Restoran Ayam Lepas. Adakah ayamnya terlepas dan kami perlu tangkap untuk makan? Oh, tentulah itu melampau. Kami tidak tahu apa yang terlepasnya, tapi ia dijamin Dr Rosa sebagai enak dan bersih, pokoknya halalan toyyiban! Rupanya ayam lepas itu pedas. Alternatifnya ialah ayam lemas yang kurang pedas. Lucu menunya, tapi pakej nasi, ulam, ayam dan sambal itu ternyata enak. Ali yang tidak sabar untuk pergi solat meninggalkan ayamnya tidak habis dimakan, maka kami semua meratapi pembaziran ayam yang enak itu.




Dalam perbualan dengan Dr Rosa, beliau ada mencadangkan tempat-tempat yang kami boleh kunjungi. Antaranya ialah Taman Putroe Pahang. Walaupun di Pahang terdapat Kampung Aceh, ini pertama kali kami mendapat tahu tentang hubungan Aceh dengan Pahang. Mengikut sejarah, terdapat seorang Puteri Raja Pahang yang berkahwin dengan Sultan Aceh. Puteri tersebut terkenal dengan kebijaksanaannya dalam aturan negeri, sehingga tercipta kata-kata yang masyhur:



“Adat bak Po Temereuhom,
Hukum bak Syiah Kuala,
Qanun bak Putroe Pahang,
Reusam bak Laksamana”

Kami berpisah dengan Dr Rosa selepas itu. Destinasi seterusnya ialah Museum Aceh. Kami dibawa Ali ke sana, dan rakan kami, Tia, yang datang dengan ‘kereta’nya sudah menunggu. Rupa-rupanya Museum Aceh belum dibuka. Masih terlalu awal jika kami mahu menunggu, lalu perjalanan dilanjutkan ke Kapal Apung.

Kapal tersebut ialah kapal Pembangkit Listrik Tenaga Disel (PLTD) dan sewaktu Tsunami ia berada di pelabuhan Ulheelhee. Gelombang Tsunami yang kencang mengheretnya ke daratan sampai sejauh lebih 4km dari pelabuhan. Ia kini ditinggalkan di tempatnya sebagai tarikan pelancong. Di bawah kapal seberat 2600 ton tersebut terdapat dua buah rumah yang ditindihnya. Kawasan tersebut dahulunya rata dek Tsunami, tapi kawasan sekitar kapal tersebut sudah dibangunkan kembali. Dari atas kapal dapat dilihat betapa jauhnya laut, menggambarkan betapa jauhnya kapal sebesar itu dihanyutkan ombak Tsunami.



Berhampiran kapal tersebut terdapat Galeri Tsunami. Ia memaparkan gambar-gambar sewaktu tsunami yang sungguh menyayat hati. Terdapat juga fakta-fakta dan statistic berkaitan Tsunami sebagai pendidikan kepada pengunjung. Hati kami diranduk kesayuan melihat gambar mayat-mayat bergelimpangan, kawasan perumahan yang rata dan ibu meratapi kematian anaknya. Sungguh, di saat Allah mahukan kehancuran, maka hancurlah sesuatu. Sungguh Allah Maha Berkuasa atas setiap makhluknya. Sungguh, nyawa kami dalam tangan-Nya.




Oh ya, seperti biasa, ke mana-mana kami pergi pasti saja ada yang memanggil, ‘Atuuuk, ooo atuk’ dan ‘Kak Roos, sarapan takde ke?’. Produksi Upin & Ipin pasti tersenyum lebar mengenangkan populariti animasi itu di sini.




Kami kemudiannya ke Museum Tsunami. Museum yang sungguh artistik itu dibina berdasarkan konsep Rumoh Aceh, rumah tradisional masyarakat Aceh yang merupakan rumah panggung. Dengan lantai bawah yang terbuka, bangunan museum tersebut boleh dijadikan ‘escape building’. Simbol gelombang Tsunami dapat dilihat dari atas bangunan. Dekorasi bahagian luar bangunan mengambil inspirasi Tarian saman, iaitu tarian tradisi Aceh, untuk mencerminkan konsep ‘Hablumminannas’.





Di dalamnya terdapat satu cerobong yang kosong dan gelap, sangat gelap. Tiada sumber cahaya melainkan dari puncak cerobong itu. Memandang ke puncak, kalimah Allah terpapar. Sungguh menginsafkan. Ia bagai mengingatkan, ketika kita sudah terputus segalanya, tidak punya apa-apa lagi untuk diharapkan, Allah tetap ada. Itulah yang dirasakan oleh mangsa-mangsa Tsunami yang saat itu merasakan sudah tiada lagi harapan.



Lantai dua museum tersebut ialah kawasan pameran. Terdapat gambar-gambar sebelum, sewaktu dan selepas Tsunami, informasi tentang Aceh, lukisan-lukisan yang berkaitan, dan video Tsunami. Digantung juga bendera negara-negara yang memberikan bantuan kepada Aceh, Malaysia salah-satunya. Kami sempat melihat reaksi Ali, juga merupakan mangsa tsunami, terhadap video yang bagi kami sungguh mengharukan. Ternyata air mukanya begitu bersahaja.


Petang itu kami kembali ke Pondok Yatim PKPU-IHH. Selepas Asar, anak-anak yang terlibat dengan Tsunami dikumpulkan di dewan. Sesi petang itu dikendalikan dengan baik oleh Naz, berbekalkan pengalaman menjadi fasilitator pelajar sekolah selama beberapa tahun. Kami sempat bersilaturrahmi dengan anak-anak yang berumur sekitar 12 ke 17 tahun tersebut. Mereka sungguh mudah mesra, seperti juga anak-anak di Al-Fityan School.



Selepas Maghrib, sesi disambung dengan beberapa lagi anak-anak yang belum pulang pada petangnya. Di sini kami bertemu Brother Mesut dari IHH Turki. Beliau merupakan graduan UIAM juga, lalu panjanglah perbualan kami dengannya. Perbualan dalam Bahasa Inggeris itu berkisarkan keinginannya melihat anak-anak di situ mendapat pendidikan tinggi, yang begitu mahal di Indonesia. Beliau meminta kami me’lobi’ pihak atasan UIAM untuk beberapa anak-anak yang cemerlang, namun kami tidak mampu menjanjikan apa-apa kerana ia di luar bidang kami.


Apapun, kami setuju dengan katanya, iaitu anak-anak di situ memerlukan motivasi. Beliau juga mengatakan yang kedatangan kami sebagai pelajar universiti yang fasih berbahasa Inggeris merupakan motivasi yang besar kepada mereka. Beliau mencadangkan kami datang lagi untuk memberikan pendidikan kesihatan kepada anak-anak di sana. Kami begitu teruja dengan cadangan itu, namun masih perlu disyurakan agar jadual kami tersusun.





Perbualan kami dengan Brother Mesut membuka mata kami. Kecaknaannya terhadap isu-isu semasa dunia, termasuklah keadaan politik Malaysia membuatkan kami kagum. Beliau juga menasihatkan kami menjadi aktivis yang peduli dan memperjuangkan nasib ummat, bukan sekadar menjadi doktor biasa seperti kebanyakan doktor. Subhanallah, banyak sekali nasihat sebegini yang kami terima sepanjang beberapa hari di sini. InsyaAllah, kami memohon bimbingan dan bantuan Allah supaya dipermudahkan dan ditetapkan hati kami, agar kami bisa menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.




Dalam perjalanan pulang malam itu, sempat kami bertanya kepada Ali tentang kunjungan ke Museum Tsunami yang mungkin mengimbau perasaan sedih dan trauma. Katanya tenang dan bersahaja, “Sedih juga, tapi itu kan takdir yang sudah lepas. Lagipun apa perlu takut. Mati itu kan bisa bila-bila masa. Jika tidak kerna konflik (merujuk kepada konflik GAM), mungkin bisa kerna Tsunami. Jika kena tsunami masih belum mati, di tempat tidur juga kan bisa mati. Itu kan sudah ditulis Ilahi, kitalah yang harus mempersiapkan.”




Hari ini ternyata sarat dengan perjalanan, pengajaran, dan peringatan.

No comments:

Post a Comment