Hari ke-9
Subuh hari ini agak kelewatan, kami tersedar kira-kira jam 610 pagi, ini pasti gara-gara kepenatan yang teramat sangat semalam. Seperti biasa, kami solat berjemaah and membaca mathurat selepas itu. Perut kami semua kelaparan. Menu sarapan pagi kami hari ini ialah nasi bubur, telur dan ikan bilis Alhamdulillah, kenyangnya..
Kami ke Klinik al-Wafa’ untuk mengambil Dr Rosa. Dr Rosa kelihatan unik dengan t-shirt labuh dan kain labuh yang menutupi seluar treknya di dalam. Kain itu sebenarnya terbelah di sisi. Mungkin ini juga adalah salah satu cara orang-orang Aceh mengenali kami, kami memakai seluar and baju labuh. Di sini anak-anak gadis rata-rata memakai skirt dan baju singkat paras punggung. Kami berasa sangat terharu kerana Dr juga telah membawa 2 gulung tikar. Yeah, picnic!!!
Water theme park adalah destinasi kami yang pertama. Kami masuk dengan tiket berharga 30 ribu rupiah seorang. Sementara menunggu kawan-kawan bersiap di bilik persalinan, Dr Rosa bercerita tentang sistem di sekolah anaknya, Haybah yang berumur 5 tahun. Gurunya akan memberikan anugerah –anugerah akhlak yang baik kepada anak-anak pada setiap minggu dan mereka diberikan sijil. Contohnya seperti penyayang, penyabar, pemaaf dan lain-lain. Sekiranya Haybah marah kerana sesuatu perkara ibunya akan berkata, “Haybah kan seorang yang penyabar, mana boleh marah”. Alangkah bagusnya kalau sistem ini juga diwujudkan di Malaysia. Pasti anak-anak kecil akan berlumba-lumba untuk menanamkan akhlak yang baik dalam diri mereka. Tidak salah juga jika sekali sekala ibu bapa memberikan anugerah kepada anak-anak apabila melakukan kebaikan.
Kami keluar dari bilik persalinan dengan wajah yang ceria dan tidak sabar untuk bermain air. Tapi ada kalanya takut bila melihat air. Masing-masing terfikir dalam tak airnya, boleh lemas ke tidak. Kami memilih untuk berendam di kolam yang berkedalaman 80cm sahaja. Dapat tak sesiapa meneka siapa orang pertama yang memasuki kolam air, jawapannya Dr Rosa. Dr Rosa memang seorang yang sangat sporting dan perenang yang hebat. Kami yang tidak pandai berenang , Nabilah, Naz dan Najwa belajar terapung. Solehah dan Iman mengajar dan membantu kami terapung. Huu.. takutnya rasa seperti tidak dapat mempercayai air untuk membiarkan diri terapung di atas air.
Seterusnya, kami semua untuk mencuba aktiviti yang lebih mencabar. Gelongsor yang berketinggian seperti bangunan 4 tingkat. Berdegup jantung melihat ke bawah dari atas. Cabaran ini dimulakan oleh Dr Rosa dengan jayanya. Kami yang berdarah muda ini rasa tercabar. Malaysia Boleh!! Alhamdulillah dengan mata tertutup kami semua berjaya. Seorang daripada kami menjadi pucat lesi mukanya selepas berjaya menuruni gelongsor. Kami sempat belajar berenang dengan Dr Rosa. Dr sangat sabar mengajar kami. Katanya, Rasulullah menuntut kita untuk mengajar anak-anak berenang. Kami pun bersemangat setelah mendapat inspirasi daripada kata-kata Dr Rosa tadi sehinggakan kami digelar mangsa tsunami Malaysia yang hanyut ke Aceh.
Sewaktu kami bersantai di dalam air, Dr menceritakan kisah yang memilukan selepas tsunami, perkara yang kami tidak pernah bayangkan. Mayat-mayat yang memakai gelang, cincin dan rantai emas ditemui saudara mereka tanpa barang-barang kemas walaupun hanya dibiarkan selama 2 jam. Malah ada sesetengah mayat yang dipotong jari semata-mata untuk mengambil cincin. Sedih bila memikirkan situasi tersebut. Masih ada manusia yang tidak insaf walaupun bencana melanda depan mata dan meragut nyawa saudara seIslam sendiri. Ya Allah berikanlah petunjuk kepada mereka...
Kami ke Pantai Cemara dengan pakaian yang masih basah dengan niat untuk tidak mandi air laut. Setibanya di pantai, Dr Rosa mengajak kami mandi laut. Ketika berendam di dalam air laut, Dr Rosa berkongsi cerita tentang kisah hidupnya. Pernikahan itu harus dibina atas dasar kefahaman yang sama. Seorang suami susah untuk mengubah isteri, begitu juga sebaliknya. Apa yang perlu dirancang oleh pasangan suami isteri adalah misi dan visi sebuah keluarga bukannya perancangan fizikal semata-mata seperti mahu anak berapa, mahu rumah apa.
Selepas azan Zohor berkumandang, kami menunaikan solat zohor berjemaah di pantai. Berlantaikan tikar berbumbungkan langit dengan pakaian yang masih basah, kami menunaikan kewajipan kepada Yang Esa. Selesai solat, kami terus pulang ke klinik al-Wafa untuk menyiapkan diri dan makan tengahari bersama-sama. Wajah kami penuh dengan kepuasan dan keceriaan jelas terpancar. Alhamdulillah, kami masih diberikan masa untuk bersantai bersama-sama sambil melihat kebesaran Allah di pantai yang indah.
Tengahari ini, kami dihidangkan dengan masakan Aceh. Masakannya tidak banyak beza dengan masakan melayu di Malaysia, membuatkan kami berselera menikmati hidangan yang disediakan. Dr juga menyediakan bihun goreng kerana beliau tahu Nad on diet. Betapa prihatinnya Dr Rosa terhadap kami. Alhamullillah, sungguh enak sekali dan kami semua kekenyangan. Sementara menunggu jam 3 petang, Dr menunjukkan kami cara berbekam. Beliau menyediakan perkhidmatan berbekam di klinik beliau di samping merawat pesakit dengan perubatan moden. Menurutnya, berbekam adalah warisan perubatan Islam sejak zaman Rasulullah yang perlu dipelajari oleh doktor muslim.
Tepat pukul 3 petang, kami ke Tsunami and Disaster Mitigation Research Center (TDMRC). Kami disambut dengan layanan yang begitu baik sekali. Di sini, kami diberikan taklimat tentang TDMRC dan bencana alam terutamanya Tsunami yang melanda Bumi Aceh pada tahun 2004. Tujuan utama penubuhan TDMRC adalah untuk mengkaji tentang persediaan dan kesan bencana alam dari pelbagai aspek (multidisciplinary). Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti tsunami drill di kampung, program pendidikan tentang bencana di sekolah, dan sebagainya. Menurut En. Dirhamsyah, pengetahuan tentang bencana alam dan cara menghadapinya adalah perkara yang penting dan harus diketahui oleh semua. Menurutnya, suku kaum Simeulu yang tinggal di Pulau Simeulu berjaya menyelamatkan diri selepas gempa yang pertama dan air laut menjadi surut kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang tsunami yang diperturunkan dari nenek moyang mereka. Hanya 7 orang dari suku kaum mereka yang terkorban semasa bencana tsunami 2004. Sebenarnya, tsunami bukanlah sesautu yang baru berlaku di kawasan aceh. Bahkan dalam kamus bahasa Aceh sudah ada perkataan tsunami iaitu Ie Beuna sejak sekian lama. Namun kerana kelalaian mereka dan sikap tidak ambil kisah untuk mempelajari tentang tsunami dari nenek moyang mereka, banyak penduduk Aceh yang terkorban ketika Tsunami pada tahun 2004. Sememangnya, bencana alam berlaku di luar kuasa kita. Namun, sebab utama yang meragut nyawa adalah ketidaksediaan. Sebagai manusia kita tidak dapat menghalang bencana alam, justeru itu, kita harus belajar cara yang betul untuk menghadapi bencana alam.
Sebelum berangkat pulang, kami sempat merakamkan gambar kenangan bersama Pengarah dan Timbalan Pengarah TDMRC di bumbung bangunan yang dibina khas sebagai tempat menyelamatkan diri sekiranya berlakunya tsunami.
Pada waktu malamnya kami makan ikan bakar di kedai Awak Away. Ikannya sangat segar dan teksturnya sangat halus. Ahamdulillah, enak bangat...
Sebenarnya, cadangan makan ikan bakar diberikan oleh adik ipar Kak Ashiah yang belajar di IAIN Ar-Raniry. Tapi beliau tidak mencadangkan mana-mana kedai, dan meminta kami memilihnya. Kami, sudah pastilah, kebuntuan, lalu meminta pandangan Ali. Beliau mencadangkan kedai Awak Away. Ketua kami yang begitu teruja mahu makan ikan bakar yang sangat sedap bersungguh-sungguh mahu memastikan agar kami tidak tersalah pilih, lalu bertanyalah beliau kepada Ali berulang-kali: 'Ini memang yang paling sedap? Betul-betul sedap? Betul-betul paling sedap sekali?" Maka berkatalah Ali: "Betul, memang sedap sekali saja. yang sedap berkali-kali hanya di syurga". Terkedu!
Sebelum tidur, kami sempat bermuhasabah. Walaupun hari ini kami sempat bersantai sambil mengeratkan lagi hubungan antara kami, Alhamdulillah, masih ada ilmu baru yang kami peroleh hasil perkongsian ilmu daripada TDMRC dan Dr Rosa. Sebenarnya, Tsunami yang melanda Aceh Darussalam pada tahun 2004 itu punya hikmah yang tersendiri. Setelah Tsunami, masyarakat Aceh lebih dekat dengan Allah dan mereka lebih bersatu padu untuk memulihkan kembali tanahair mereka. Selain itu, ilmuan-ilmuan dari Aceh yang bekerja di negara lain pula kembali semula ke tanahair untuk membangunkan bumi Aceh. Salah satu bukti bersatunya ilmuan-ilmuan ini ialah tertubuhnya TDMRC.