Wednesday, December 15, 2010

TRAVELOG: Hari ke-11

Hari ke-11

Hari ini adalah hari terakhir kami ke BSMI. Kami mengadakan perjumpaan terakhir dengan Dr Supri dan staf-staf BSMI. Sedikit sumbangan dari Malaysia telah kami berikan kepada wakil BSMI untuk digunakan dalam Bakti Sosial (BAKSOS) BSMI bersama masyarakat Aceh. Pihak BSMI menyampaikan salam buat warga Malaysia dan mereka benar-benar berharap agar hubungan baik ini dapat diteruskan dan kunjungan dari Malaysia di masa akan datang amat dialu-alukan.


Kemudian, kami terus bertolak ke Kampung Samahani untuk acara mikrokredit GPM diiringi oleh sahabat kami dari Aceh, Tia iaitu wakil GPM Aceh. Mengikut penerangan Tia, mikrokredit ini sebenarnya adalah bantuan yang diberikan oleh Global Peace Malaysia-Aceh kepada masyarakat kampung dalam bentuk wang sebagai modal untuk memulakan perusahaan kecil. Program ini masih dalam percubaan dan hanya 10 keluarga sahaja yang terpilih. Sewaktu kami datang ke sana, ini adalah modal 1 juta rupiah yang pertama diberikan kepada setiap keluarga. Penduduk kampung ini terdiri daripada petani dan mereka yang menerima bantuan ini adalah terdiri daripada golongan ibu-ibu yang mengusahakan perusahaan sulaman tas tangan. Sesi pertemuan kami bersama ibu-ibu di sana dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh wakil kami, Nabilah, seterusnya, sedikit taklimat kesihatan.



Acara diteruskan dengan pembacaan ikrar oleh semua penerima bantuan mikrokredit. Setiap daripada kami berpeluang untuk menyampaikan pinjaman kewangan dengan melakukan acara akad pinjaman dengan penerima. Selepas itu, kami melawat tempat aktiviti jahitan sulaman dijalankan. Kami sangat kagum dengan mereka kerana sulaman yang dihasilkan sungguh cantik dan teliti. Hasil sulaman mereka akan dihantar ke pekan untuk dihasilkan tas tangan. Kami pulang dengan satu perasaan terharu kerana pada kami, bantuan yang diberikan oleh GPM Aceh ini benar-benar memberikan sinar buat mereka dan peluang untuk mereka menaikkan taraf hidup keluarga masing-masing.





Makan malam hari ini adalah makan malam yang kami tidak akan lupakan. Pada awalnya, kami begitu cerewet untuk memilih tempat makan yang sesuai. Ada yang enggan untuk makan di warung tepi jalan, ada yang mahu tempat makan yang bersih dan murah, dan macam-macam lagi. Pemandu kami, Ali melayan kerenah kami dengan sabarnya. Mungkin dia faham akan sikap kami yang sangat mementingkan pengambilan makanan yang sihat dan bersih bagi mengelakkan keracunan makanan. Akhirnya, Ali membiarkan kami membuat keputusan. Tiba-tiba seorang daripada kami memberikan cadangan yang bernas dan memberikan harapan yang indah buat perut kami yang lapar ini. “Kita cuba kedai makan itu; Masam Keu-Eung”. Apabila kami semua sudah memilih meja makan, pelayan-pelayan kedai itu menghidangkan begitu banyak lauk-pauk. Kami semua terkejut dan terlopong. Menurut Ali, ini adalah masakan orang Aceh. Kami pun makan lauk yang terhidang dengan banyaknya sambil memasang niat, kalau boleh kami nak merasa semua masakan Aceh. Akibatnya, kami terpaksa membayar lebih 100 000 Rupiah untuk semua juadah yang kami makan pada malam itu. ‘Kenapa mahal sangat?’ Kami semua terkesima dan kami sangka kami ditipu. Rupa-rupanya apabila kami bertanya kepada Ali tentang harga makanan yang mahal itu, jawapannya mudah sahaja. Kebiasaannya, semua menu yang ada akan dihidangkan dan pelanggan hanya perlu menyentuh makanan yang mereka mahu sahaja, kemudian harga akan dihitung berdasarkan berapa jenis makanan yang disentuh. Kami membuat konklusi inilah akibatnya kalau malu bertanya pada awalnya. Namun, Alhamdulillah akhirnya kami dapat merasa masakan Aceh setelah satu minggu lebih memilih Indo mee untuk berjimat.

1 comment: