Wednesday, December 15, 2010

TRAVELOG: Hari ke-10

Hari ini kami bangkit dari tidur dengan seribu pertanyaan kerana segala program yang dirancangkan untuk kami masih belum ada kepastiannya. Pagi ini, jam 8, kami dapat panggilan daripada wakil global peace Malaysia Aceh. Kami diundang untuk menghadiri workshop Pemikiran Islam: Bahaya Ghazwul Fikri dan SIPILIS (Sekularisme, Pleuralisme, Liberalisme). Tanpa berfikir panjang, kami bersiap untuk memenuhi undangan majlis ilmu tersebut.

Taklimat telah disampaikan oleh dua orang penceramah terkenal, Dr Adian Husaini dan Dr Adnin Armas. Secara jujurnya bagi kami, tajuk yang diperkenalkan kepada kami ini agak berat, lebih-lebih lagi bahasa dan huraian yang diberikan begitu teliti dan mendalam sehingga tidak tercapai dek akal kami yang masih pelajar, berbanding dengan peserta workshop lain yang terdiri daripada ilmuan agama yang mewakili provinsi masing-masing. Terasa kerdil diri kami, namun, demi sesuap ilmu, kami memberanikan diri untuk turut serta menimba ilmu bersama-sama mereka.

Dalam ceramah Ustaz Adian, beliau ada mengatakan bahawa Orang Barat telah menanamkan idealisme barat yang penuh dengan kerosakan dalam pemikiran umat Islam melalui pengaruh media. Tanpa kita sedari, fikiran kita sebenarnya telah dijajah dan diserang oleh mereka. Mereka memecah belahkan umat Islam dengan meniupkan fitnah dan berita palsu antara Muslim. Padahal, yang menyatukan kita serumpun sebagai rakyat Malaysia dan Indonesia sebenarnya adalah kehadiran Islam. Perjuangan kemerdekaan di nusantara juga banyak yang dipelopori oleh pejuang Islam, atas dasar menolak penjajahan yang memansuhkan syariat Islam. Aceh, yang dikenali dengan serambi Mekah merupakan satu contoh.

Antara faktor kekalahan umat Islam kepada orang Barat ialah seorang muslim sibuk dengan diri sendiri tanpa memikirkan masalah umat dan umat Islam saling mencaci. Sikap-sikap negatif seperti inilah yang membuatkan mereka tertawakan kita. Sekiranya kita berpegang pada ajaran Islam dan sedar akan serangan Barat terhadap pemikiran kita, pastinya Islam tidak akan kalah. Tidak akan terjadi masalah keruntuhan akhlak, hiburan yang berlebihan, anak-anak menjadikan artis sebagai idola dan sebagainya.

Sesi petang diteruskan dengan slot Dr Adnin. Beliau membawakan contoh-contoh tulisan para ‘agamawan’ yang menolak mukjizat al-Quran, kononnya al-Quran hanyalah karangan Rasulullah, bukannya wahyu dari Allah. Kami terkejut. Yang diceritakan itu bukan calang-calang orang, punya pendidikan agama hingga ke peringkat tinggi. Malang sekali mereka boleh terpengaruh dengan dakyah barat dan menconteng kesucian agama mereka sendiri. Semoga Allah memberikan mereka dan kami semua hidayah dan peliharaanNya. Sesi tersebut juga dihangatkan dengan soalan-soalan berapi dari para peserta berkenaan ideologi SIPILIS, yang dalam diam telah menjajah pemikiran umat Islam. Ternyata, ghazwul fikr merupakan cara yang sangat halus tapi sangat membinasakan!

Selepas waktu sore kira-kira jam 5petang,kami pun menuju ke masjid Polda sementara menunggu waktu maghrib. Sesudah makan malam di salah satu gerai di tepi jalan dengan menu biasa IndoMee goreng, kami pun pulang ke rumah.

3 comments:

  1. Teringin nak baca novel Kemi:Cinta Kebebasan yang Tersesat tulisan Dr Adian. Beliau memang mendalami isu SIPILIS, dan merupakan salah seorang pakar rujuk berkenaan isu ini di Indonesia. Kita sangat bertuah dapat mendengar beliau secara live!

    Btw, kalau ada sesiapa yang baca novel Negeri 5 Menara oleh Ahmad Fuadi, watak Raja Lubis dalam novel tersebut diinspirasikan dari Dr Adnin Armas. penulis novel ialah rakan sepesantren beliau, dan dalam novel diceritakan beliau memang seorang yang amat rajin dan pintar. Masa baca novel tu, tak sangka dah pernah berjumpa watak sebenarnya..

    ReplyDelete
  2. oh ya, kedua-dua penceramah bergiat dalam INSIST (Institute for the Study of Islamic Thought and Civilization), Indonesia. Memang orang yang tepat untuk bercakap tentang ideologi2 di atas

    ReplyDelete
  3. Najwa, sayangnya bagi orang-orang yang telah tertidur sepanjang lecture Dr Adian. Huhu

    ReplyDelete