Wednesday, December 15, 2010

TRAVELOG: Hari ke-8

Di saat orang lain bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga di hujung minggu, kami memilih untuk mengisi masa kami dengan majlis ilmu. Alhamdulillah, kami dibukakan hati untuk menghadiri program ‘sexual education’ yang disampaikan oleh Dr Rosa kepada mahasiswi fakulti ekonomi UNSYIAH. Kami berpeluang menimba ilmu yang begitu berguna buat kami sebagai kaum hawa dan bersilaturrahim bersama siswi-siswi yang hadir.

Ceramah ini telah berjaya disampaikan dengan baik sekali sambil diselangi dengan jenaka yang bersahaja, membuatkan kami tidak kering gusi sepanjang mendengar ceramah tersebut. Penekanan telah diberikan tentang kepentingan menjaga batasan hubungan antara lelaki dan perempuan sebelum memasuki alam perkahwinan. Menurut Dr Rosa, jumlah kelahiran anak luar nikah semakin bertambah di bumi Aceh walaupun bumi Aceh ini melaksanakan Syariat Islam. Perkara ini mengingatkan kami kembali tentang fenomena anak luar nikah di Malaysia yang jauh lebih tinggi kadar kelahirannya di Malaysia. Sebenarnya, masalah ini kini telahpun menjadi masalah dunia kerana ia bukan sahaja melibatkan sebuah atau dua buah negara malahan masalah ini kian meruncing di setiap pelusuk dunia.

Di saat Dr Rosa memaparkan video pengguguran janin, ramai pendengar yang hadir menitiskan air mata, mungkin melahirkan rasa kesal, marah, atau geram dengan tindakan manusia yang tidak punya pedoman ini. Ceramah ini benar-benar memberikan impak positif dan pengajaran kepada semua yang hadir. Ilmu yang diperoleh bukan sahaja disimpan untuk diri sendiri, malahan setiap seorang daripada pendengar yang hadir memegang tanggungjawab untuk menyampaikannya kepada sahabat-sahabat, adik-adik di kampong halaman agar masalah keruntuhan akhlak ini dapat dibendung. Jika masalah ini berterusan, orang Barat pasti tertawakan umat Islam kerana mengikut cara hidup mereka yang penuh dengan kejahilan..Ya Allah, lindungilah kami dan keturunan kami daripada maksiat dan kejahilan..

Selepas mendengar ceramah tersebut, kami berehat sebentar sambil mengisi perut yang lapar sebelum meneruskan aktiviti kami di Rumah Anak-Anak Yatim PKPU seperti yang telah dirancang. Untuk program kali ini, kami semua berdebar untuk melihat reaksi daripada anak-anak di sana terutamanya Zila dan Naz kerana mereka yang bertanggungjawab memastikan acara utama program ini berjalan lancar iaitu Demonstrasi Gempa Bumi. Buat pertama kalinya, dengan berbekalkan bimbingan daripada Dr Rosa, kami yang tidak pernah berhadapan dengan gempa bumi, bertekad untuk mengadakan ‘Program Disaster Preparedness’ kepada anak-anak yatim di PKPU, walaupun mungkin mereka lebih arif untuk berhadapan dengan situasi ini berbanding daripada kami.

Ketibaan kami di sana disambut mesra oleh warga PKPU. Setibanya kami di sana, kami terus menyediakan tempat untuk program kami. Alhamdulillah, persediaan program semua berjalan lancar. Walaupun sebelum ini ada di antara kami yang tiada langsung pengalaman menguruskan sound system, projector, tetapi dalam program ini, kami belajar menguruskan semuanya. Alhamdulillah..mungkin kerana team work kami.

Program ini dimulakan dengan sesi perkenalan, di mana, setiap seorang daripada kami berdiri di hadapan untuk memperkenalkan diri mengikut kreativiti masing-masing. Keceriaan terpancar di wajah anak-anak yatim di sana di kala kami selitkan lawak jenaka dalam sesi tersebut. Seterusnya, program ini diambil alih oleh ketua kami, Najwa ‘Abidah. Beliau memberikan taklimat tentang gempa bumi dan persediaan menghadapi gempa bumi. Walaupun mereka tidak pernah menghadiri taklimat seperti ini, namun, apabila ditanya ‘apakah persediaan menghadapi gempa bumi yang adik-adik tahu?’, banyak jawapan yang tepat kami peroleh. Sebenarnya, pengalaman benar-benar mengajar mereka. Selepas taklimat, program ini dilanjutkan dengan pembahagian kumpulan untuk sesi perkongsian ilmu kesihatan dan bencana bersama kami. Pendedahan diberikan tentang pendidikan seks, kebersihan diri, keracunan makanan dan pertolongan cemas. Anak-anak ini aktif dan tidak segan bertanya membuatkan kami lebih bersemangat untuk berkongsi ilmu.

Di sebelah petangnya pula, kami mulakan program dengan muhasabah diri sambil diiringi alunan zikrullah yang menginsafkan. Tatkala mereka sedang asyik menginsafi diri, kami kejutkan mereka dengan bunyi dentuman yang kuat seakan-akan gempa sedang melanda. Mereka menjerit dan dengan berbekalkan ilmu yang diperoleh sewaktu taklimat, mereka menyelamatkan diri mengikut cara yang betul. Ada yang bersembunyi sambil menundukkan kepala di sisi meja, ada yang berlindung di tepi dinding yang kukuh dan ada yang menarik tangan rakannya untuk sama-sama melindungi kepala dengan papan putih. Pelbagai reaksi yang kami lihat dari raut wajah mereka. Ada yang ketawa, mungkin memikirkan ia cuma latihan, tetapi ada juga yang masih trauma dan menangis. Kami segera menenangkan adik tersebut manakala yang selainnya diarahkan untuk beratur keluar dari bangunan dan berkumpul di tempat yang lapang. Kami berzikir sekali lagi bersama-sama dengan memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan memohon perlindungan daripada-Nya.

Sesi demonstrasi tersebut diakhiri dengan komen yang membina daripada Dr Rosa. Antara pesanan beliau, apa yang penting semasa bencana melanda ialah kita tidak perlu panik. Bak katanya, “Tenang aja.. Kalau sudah sampai masa, di kamar tidur pun kita akan mati, ngak perlu tunggu gempa”. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar sekali. Kami senang sekali dengan sambutan dan kerjasama yang diberikan. Mereka sangat mesra dan pasti kami tidak akan melupakan saat yang bermakna ini buat selama-lamanya. Dengan berat hati, kami tinggalkan adik-adik dengan lagu Salam Perpisahan dan kami sememangnya ingin hadir lagi di perkampungan mereka jika diberikan peluang di masa akan datang. InsyaAllah...



Sebagai penghargaan daripada pihak Rumah Anak-Anak Yatim PKPU, Bro. Mesut, wakil pengasas rumah ini iaitu dari Istanbul menghadiahkan kami sesuatu yang kami rasa begitu bermakna iaitu sebotol kaca yang tertulis ‘Ingredients: %19 air of Istanbul, %81 'salaam' and 'dua' from Turkey's Muslims..’
By: Naz & Nabilah

No comments:

Post a Comment