Wednesday, December 15, 2010

TRAVELOG: Hari ke-13

Hari ke- 13

Hari ini adalah hari terakhir kami di Aceh. Semua ahli rumah kami bangun pagi awal berbanding hari-hari biasa. Pukul 615 pagi semua sudah selesai mandi dan mengadap beg bagasi masing-masing untuk final touch up. Kami memilih untuk bersarapan roti dan air mineral untuk meminimumkan penggunaaan barangan dapur. Ali kelewatan lagi kerana sepertinya jalan macet.

Kira-kira pukul 7 pagi, mobil kami sampai. Memandangkan kami mempunyai bagasi yang besar, ternyata mobil GPM tidak mampu untuk menampung bagasi kami yang besar dan penumpangnya sekali gus. Justeru itu, kami memilih untuk membahagikan kami semua kepada 2 trip. Trip pertama menghantar beg besar kami dan 4 orang wakil untuk menjaga beg di terminal nanti; Najwa, Iman, Ila dan Kak Ashiah.

Sementara menunggu trip seterusnya, Tia sahabat baik kami di Aceh tiba di rumah kami. Tia meluahkan perasaannya dan kami semua sedaya upaya untuk mententeramkan Tia.
Hati menjadi sayu di sepanjang perjalanan dari rumah ke terminal.Terasa ingin menitiskan air mata apabila memandang ke arah pemandangan yang cantik dan pasti kami tidak akan lupa layanan baik yang kami terima daripada penduduk Aceh walau di mana kami pergi.

Terharu hati kami pagi ini kerana ramai yang menghantar kami di terminal. Ummi mewakilkan 2 orang daripada warga PKPU untuk menyampaikan cenderamata kepada kami. Tiba-tiba terdetik rasa rindu kami kepada ummi dan warga Rumah Anak-Anak Yatim PKPU. Maaf ya ummi kerana tidak dapat memenuhi undangan ummi semalam. Insya Allah kita dapat bertemu lagi, jika tidak di dunia mungkin di syurga. Amin. Selain itu, kak Nila dan Fateh pun turut ke terminal untuk menghantar kami.

Bas kami bertolak setengah jam awal dari waktu yang ditetapkan, mujurlah kami sampai awal di terminal. Namun, bas ini berhenti di gerai makan setelah hanya 10 minit bergerak. Rupa-rupanya pemandu dan konduktor basnya mahu bersarapan. Patut la bertolak awal.

Perjalanan kami dari Aceh ke Medan dijangkakan mengambil masa 15 jam. Perjalanan yang begitu lama dan mencabar benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal kami. Kami melalui jalan yang berbukit-bukau, kawasan sawah padi, kelapa sawit, perkampungan dan hutan belantara. ‘Vestibular system’ kami benar-benar teruji. Masing-masing telah bersedia dengan anti-emetic, minyak-minyak angin sebagai persediaan ‘motion sickness’. Dari Aceh utara ke Aceh Timur kemudian Aceh Temiang, banyak sekali masjid yang kami lihat di sepanjang perjalanan. Berbanding di Malaysia, masjid-masjid di sini banyak yang berkonsep terbuka tanpa dinding, kipas dan penghawa dingin. Yang ada hanya udara segar dari luar.

Apa yang berbeza dari Malaysia, ada segelintir penumpang Indonesia yang kurang menghormati penumpang lain dengan merokok di dalam bas yang berhawa dingin. Kami hampir kelemasan setiap kali asap rokok dilepaskan. Selain itu, walaupun kami menaiki bas ekspres namun mereka mengambil penumpang berlebihan dari bilangan tempat duduk yang tersedia. Ada penumpang yang terpaksa berdiri di tengah laluan sementara menunggu penumpang yang lain turun. Setiap kali bas berhenti, pasti ada penjual dan peminta sedekah naik ke dalam bas. Ada yang buta dipimpin oleh saudaranya sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, ada yang menjual makanan, dan tidak lupa anak-anak kecil yang meminta sedekah. Kadang-kadang terdetik rasa kasihan kepada mereka kerana tidaklah mudah bagi mereka untuk mendapatkan wang untuk sesuap nasi. Tidak seperti di Malaysia yang rata-rata berkedudukan sederhana.

Untuk makan tengah hari, kami mengalas perut dengan biskut Astana dan kerepek pisang. Sementara untuk makan malam, kami semua membeli murtabak Indonesia berharga 6 000 Rupiah semasa bas berhenti untuk rehat. Sudah tidak terkira berapa kali kami telah tidur di sepanjang perjalanan. Kaki sudah menjadi kejang, belakang menjadi sakit kerana terlalu lama duduk di atas bas.

Akhirnya, kira-kira jam 10 malam kami tiba di Sundal station. Lucky tourist guide kami telah menunggu kami bersama Lovely holiday bas. Setibanya di tempat penginapan, kami semua kaget dengan keadaan rumah yang disediakan. Rumah dua tingkat dengan 4 buah bilik lengkap dengan dapur. Kami rasakan ini terlalu mewah untuk harga yang kami peruntukkan. Kata kak asiah, “ dari kehidupan yang serba sederhana di Aceh, penuh kesyukuran bertukar ke kehidupan yang mewah di Medan”. Allah maha berkuasa, perancangan Allah adalah perancangan yang terbaik.

2 comments:

  1. Kerepek Pisang Bireuen! sampai naik kembung makan kerepek pisang. nabilah, pembetulan: Murtabak Aceh, bukan murtabak indonesia.

    murtabak Aceh ni lain dari murtabak Malaysia. Dia macam kita buat telur dadar, lepas tu letak ada satu layer of doh, nipis je, lepas tu lipat-lipat. suka :)

    ReplyDelete
  2. nabilah.. knapa tia menangis..?

    ReplyDelete